Dalam perbicaraan pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, saksi ketujuh pendakwaan memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa 436 keping gambar berkaitan kes itu diambil daripada telefon bimbit dengan jenama Samsung Galaxy A31 yang telah pun dihantar kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
ASP Latifah Abdul Aziz, penganalisis video audio kanan PDRM, berkata bahawa selain itu, empat rakaman video dan 219 tangkapan skrin turut diperoleh daripada telefon bimbit berkenaan.
Telefon bimbit itu, yang berada dalam sampul putih, dihantar ke makmal forensik PDRM Cheras Selangor pada 9 Ogos 2021, jam 3.20 petang ketika Latifah bertugas di situ.
Gambar dan Video Adalah Asli
Semasa menerima peranti itu, Latifah memeriksanya untuk memastikan ia tidak rosak dan berfungsi dengan baik sebelum membuat analisis forensik pada tarikh yang sama.
“Proses pengekstrakan item kes (peranti mudah alih) dilakukan dengan perisian XRY dan saya mengenal pasti data yang diperlukan oleh pegawai penyiasat,” katanya semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad Khamis pada 11 Mei.
Latifah mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menganalisis kandungan telefon bimbit itu sebelum menyalin data ke dalam dua cakera padat (CD) PDRM yang dilengkapi ciri keselamatan.
Beliau menyatakan bahawa satu CD mengandungi 436 gambar bersama empat rakaman video, manakala satu lagi mengandungi 219 tangkapan skrin daripada aplikasi WhatsApp.
Ketika disoal siasat, Latifah juga menyatakan bahawa empat rakaman video yang ditayangkan di mahkamah pada Khamis tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.
Baca lagi | Perbicaraan Pendakwah Ebit Lew: Saksi Mengatakan Dia Melihat Mesej Lucah
Terlibat Dengan Tuduhan Seksual
Untuk makluman anda, Ebit Lew atau nama sebenar beliau adalah Ebit Irawan bin Ibrahim Lew, 37, telah dipanggil oleh pihak polis pada Ogos 2021 yang lalu untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung dengan kes dakwaan terdapat sebuah video lucah yang dikatakan mirip atau sama dengan rupanya.
Rakaman video tersebut telah tersebar meluas di internet. Walau bagaimanapun, Ebit mengaku tidak bersalah dan mengatakan itu merupakan satu fitnah melampau yang cuba memburukkan nama dan reputasinya.
Namun, seorang lagi pendakwah bebas, iaitu Firdaus Wong, tampil pun tampil untuk memberikan keterangannya di Mahkamah Tenom, Sabah berhubung dakwaan itu.
Beliau memaklumkan bahawa dia telah pun melihat beberapa mesej serta gambar lucah yang terdapat di dalam telefon bimbit seorang wanita yang mendakwa mesej serta gambar lucah tersebut diterima daripada Ebit Lew.
Kes dakwaan ini telah disiasat mdi bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan sekiranya Ebit didapati bersalah, pendakwah bebas itu bakal berhadapan dengan hukuman maksimum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.