Pengajaran yang amat bermakna buat Pakatan Harapan

Sejak 2017 ketika Bersatu bergabung dengan tiga parti asal Pakatan Harapan – PKR, Amanah dan DAP, saya kerap berbual panjang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pertemuan terakhir kami pada 5 Februari, saya sebutkan padanya bahawa jika Bersatu bergabung dengan UMNO dan PAS, ia akan dibaham hidup-hidup oleh dua parti Melayu itu.

Tidak mengejutkan, Muhyiddin bersetuju dengan saya bahawa Bersatu adalah parti paling kecil dengan infrastruktur akar umbi yang paling kurang dalam kalangan ketiga-tiga parti Melayu yang bertanding di kerusi-kerusi yang sama, selain membuat tuntutan politik yang serupa.

Saya juga telah lama menyebut bahawa gabungan UMNO dan PAS, beserta rakan-rakan mereka dari MCA dan MIC, tidak mempunyai strategi pilihan-raya. Selain hanya strategi ‘bumi hangus’ di mana UMNO-PAS membakar keresahan Melayu-Islam manakala MCA-MIC menyemarak rasa tidak senang warga bukan-Melayu terhadap Pakatan Harapan.

Tujuannya untuk menghangatkan iklim politik sehingga Pakatan berpecah demi membolehkan Najib Razak dan konco-konconya ‘mencuri’ kuasa pada tempoh separuh penggal, tanpa perlu menempuhi pilihanraya.

Saya bimbang jika gabungan UMNO-PAS ini, yang mendominasi parti kecil Muhyiddin, mungkin tidak selesa dengan pilihanraya. Mereka malah mengharamkan pilihanraya jika mereka fikir mereka tidak boleh menang melalui sebuah proses demokratik.

Tetapi buat masa ini itu mungkin tidak berlaku kerana ada sesuatu yang sedang terjadi dalam gabungan yang rapuh ini. Mereka sudah pun tidak boleh bersetuju sesama sendiri.

Ternyata jika pemimpin UMNO dan PAS tidak mendapat apa yang mereka mahukan daripada Muhyiddin, mereka akan memilih supaya diadakan pilihanraya mengejut di mana Bersatu pimpinan Muhyiddin akan pastinya ditelan hidup-hidup.

Sebilangan orang mengandaikan bahawa apabila UMNO dan PAS bekerjasama, bilangan undi yang mereka terima pada PRU ke-14 akan dijumlah bersama, dan Pakatan Harapan akan terus kehilangan 30 kerusi ‘swing’ dan seterusnya hilang kuasa.

Fahaman yang begitu simplistik (namun popular) tentang dinamik pilihan raya ini, malangnya dikongsi ramai pihak; bukan sahaja rakyat kebanyakan tetapi juga ahli akademik dan pemimpin politik. Masing-masing saling menakut-nakutkan sehingga ke satu tahap menyumbang kepada asas ideologi rampasan kuasa politik ini.

Pun begitu, ‘pakar-pakar’ ini telah terlepas pandang tiga perkara penting:

1. Undi PAS pada PRU14 adalah undi menolak Najib

Pakatan Harapan perlulah dengan rendah diri mengakui bahawa kebanyakan undi yang diterima pada PRU14 adalah undi berbentuk penolakan terhadap kleptokrasi Najib Razak, dan bukannya kerana mereka suka kepada Pakatan.

Di kawasan Pantai Barat Semenanjung, pengundi Melayu yang menolak Najib kebanyakannya mengundi Pakatan. Di Pantai Timur, undi-undi ini diberi kepada PAS kerana pengundi berfikir bahawa dalam pertembungan tiga penjuru di Kelantan dan Terengganu, PAS lebih berkemungkinan menewaskan UMNO.

Tema kempen PAS pada PRU14, terutamanya di Kelantan dan Terengganu, sebenarnya tidak jauh beza berbanding Pakatan.

Jurukempen akar umbi PAS benar-benar percaya bahawa mereka sedang menentang UMNO dan Najib, tanpa menyedari bahawa pemimpin mereka sebenarnya telah membuat perjanjian dengan Najib dan UMNO untuk membentuk gabungan pasca pilihan raya.

2. Pengundi Melayu urban

Sepanjang tahun-tahun saya dalam politik, banyak masa telah diluangkan bersama pemimpin senior Melayu, termasuk Muhyiddin.

Satu ‘halangan’ dalam benak pemikiran pemimpin dan pakar-pakar ialah mereka berpendapat bahawa cara UMNO-PAS menyusun parti masing-masing ialah standard piawai politik – hanya kerana mereka memikirkan bahawa Melayu kebanyakannya adalah penduduk luar bandar.

Malah orang bukan-Melayu pun turut percaya dengan stereotaip bahawa orang Melayu ini orang luar bandar. Apa yang saya mahu sebut tentang perbezaan bandar dan luar bandar ini tidaklah sangat tentang pendidikan, kekayaan atau ‘keterbukaan minda’.

Ada ramai miskin bandar, dan ada ramai orang kaya di kampung-kampung. Apa yang saya mahu sebutkan ialah tentang hubungan sosial ‘pelanggan-penjual’ yang dijalankan oleh UMNO, MCA, MIC dan PAS di kawasan luar bandar dan separa urban.

‘Rejim lama’ ini dibentuk oleh parti luar bandar yang cemerlang belaka. Mereka berkhidmat untuk pengundi luar bandar dengan baik melalui bantuan kebajikan dan sokongan sosial. Walau bagaimanapun, demografi mengubah politik.

Semua kampung kini dihubungkan dengan rangkaian jalan raya. Jalan raya ini membolehkan anggota keluarga yang lebih muda berhijrah ke bandar besar untuk mencari rezeki, dan juga membawa mereka pulang pada hari raya dan pilihan raya.

Saya tidak mengajukan bahawa orang bandar secara alaminya lebih progresif dalam sudut pandang mereka, tetapi soalnya ialah mereka tidak terbelenggu dengan hubungan ‘pelanggan-penjual’ ini. Mereka mengundi mengikut sentimen perbualan WhatsApp nasional.

Pada PRU14, pengundi urban Melayu pulang ke kampung keluarga mereka di luar bandar untuk mengundi menolak Najib dan isterinya Rosmah Mansor. Ini menjelaskan kenapa, walaupun wujud jentera yang begitu hebat di Johor, UMNO dan BN berdepan kekalahan yang begitu besar.

Ini bermakna bahawa sesiapa sahaja yang boleh memenangi hati dan minda Melayu urban, kebanyakannya mengundi di sekitar 30 kerusi swing semi-urban yang dimenangi Pakatan pada tahun 2018, akan memenangi Malaysia.

Ia bukan soal struktur parti yang rumit di kerusi-kerusi luar bandar tetapi dasar ekonomi yang baik untuk rakyat biasa yang bergelut dengan kehidupan sehari-hari.

Tentu sekali juga, Tun Mahathir Mohamad telah memainkan peranan yang sangat penting pada PRU14 bagi meyakinkan pengundi Melayu yang mahu membuang Najib. Bersatu tanpa Tun Mahathir tidak mempunyai erti, dari sudut pilihan raya.

3. Kerusi swing adalah kerusi campuran

Dari sudut strategi pilihan raya, Bersatu dan DAP adalah rakan kongsi terbaik kerana hampir tiada tuntutan kerusi bertindih.

Namun kumpulan Muhyiddin malangnya telah tewas kepada cakap-cakap perkauman yang akhirnya akan menyaksikan Bersatu diratah-ratah oleh UMNO dan PAS.

Penting untuk diingat bahawa kebanyakan kerusi swing utama di Semenanjung adalah kerusi campuran majoriti Melayu dengan bilangan populasi bukan-Melayu yang tinggi.

Contohnya, kerusi Pagoh Muhyiddin ialah 64 peratus Melayu. Daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, 18 daripadanya adalah 60 peratus Melayu ke bawah, dan empat lagi kerusi kurang 70 Melayu.

Pakatan menang 18 daripada 26 kerusi di Johor kerana pengundi luar yang pulang dari bandar serta sokongan besar-besaran daripada seluruh kumpulan etnik.

Mana-mana gabungan yang boleh menang merentasi garis kaum, bagi memenangi undi Melayu, Cina dan India; akan menang di Johor dan di peringkat pusat. Sebuah gabungan Melayu sahaja tidak akan mendapat sokongan merentasi garis kaum.

Pakatan Harapan perlu bekerja keras dua kali ganda sekarang, untuk melawan mitos yang menyelubungi pengundi Melayu, dan membina atas asas sokongan kukuh kesemua pengundi bagi memastikan agenda reformasi dipelihara.

Ini akan memberi Pakatan satu lagi peluang untuk kembali menjadi kerajaan, kali ini dengan mengambil beberapa pengajaran.

Oleh Liew Chin Tong
(Pengarah Pendidikan Politik DAP)

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *