Agong lantik Mahathir sebagai Perdana Menteri interim

  • By Wendy. V
  • February 24, 2020
  • 0
  • 81 Views

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Walau bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baru.

“Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baru dilantik dan kabinet dibentuk,” kata Mohd Zuki menerusi satu kenyataan, lewat petang ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir meluangkan kira-kira sejam setengah megadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, menurut sumber yang rapat dengan isu perlembagaaan berkata, Seri Paduka mungkin mengambil masa sehingga 10 hari untuk menentukan pihak mana yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Sejak seminggu-dua kebelakangan ini beberapa ahli parlimen dilamar menandatangani akuan berkanun yang mengisytiharkan sokongan kepada Mahathir tetapi di bawah pakatan atau gabungan yang berbeza.

Walau bagaimanapun, sokongan berkenaan mungkin ditarik balik kurang tempoh 48 jam lalu susulan pendedahan bahawa Mahathir tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membentuk gabungan baru yang terdiri daripada 11 wakil rakyat yang berpaling tadah dari PKR yang diketuai oleh ahli parlimen Gombak Azmin Ali, selain ahli parlimen Bersatu, BN, PAS, GPS dan Warisan.

Sebahagian besar daripada mereka mahu menumbangkan Pakatan Harapan tetapi tetap mahu Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri.

Berikutan gerakan politik itu, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Bersatu mempunyai 26 Ahli Parlimen tetapi terdapat spekulasi bahawa sebahagian daripada mereka kini mahu terus bersama Mahathir.

Pemimpin PH, selepas pertemuan dengan Mahathir pagi ini, mendakwa perdana menteri kecewa dengan gabungan baru itu kerana dirinya tidak mahu bekerjasama dengan Umno. Bagaimanapun, Mahathir belum menjelaskan perkara itu secara terbuka dengan mengadakan sidang media.

Peletakan jawatan Mahathir mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini beliau berkali-kali mangatakan bahawa beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga selesai Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC November ini.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *