Empat lelaki disabit kesalahan serang Syed Saddiq

  • By Wendy. V
  • February 12, 2020
  • 0
  • 87 Views

Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyerang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bulan lepas.

Tertuduh dikenali sebagai Norhanizam Ithnain, 38, Mohd Iskandar Masindra Rasidi, 37, Mohd Iskandar Afiq Razak, 26, dan Ezzul Emran Abdul Rahim, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyerang Syed Saddiq dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan Menteri Belia dan Sukan itu di tapak perkhemahan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram pada 9.30 malam, 31 Januari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noorhadi mencadangkan wang jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh mengambil kira kejadian tersebut membabitkan seorang menteri yang juga wakil rakyat.

Bagaimanapun peguam Izzat Muhtar yang mewakili semua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan kesemua anak guamnya memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan. 

Mohd Zaki membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *