The Malaysia Post

Menghadapi Ramadan: Amalan pemakanan sihat sepanjang bulan puasa

Sepanjang bulan Ramadan, masyarakat Islam di Malaysia mempunyai waktu singkat untuk mendapatkan tenaga dan khasiat yang cukup kerana perlu menjalani ibadah puasa, dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Amalan pemakanan sihat pada bulan Ramadan adalah penting. Ini bagi membolehkan badan memperolehi semua nutrien yang diperlukan dan membantu mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh berpuasa.

Antara amalan pemakanan sihat yang boleh diamalkan sepanjang bulan puasa adalah:

1. Amalan sewaktu bersahur

Amalan bersahur amat penting untuk membantu umat Islam bertenaga ketika berpuasa seharian. Waktu bersahur yang digalakkan adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum masuk waktu imsak. Makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat adalah digalak ketika bersahur, di mana ia mengambil masa untuk dicerna dan mengurangkan rasa lapar.

Selain itu, makanan daripada protein turut membantu bagi melambatkan lagi proses pencernaan. Sebagai contoh, kekacang, soya, ayam, daging dan ikan. Pengambilan buah-buahan dan air yang mencukupi juga perlu selain mengelakkan minuman berkafein.

2. Amalan sewaktu berbuka puasa

Semasa berbuka puasa, adalah digalakkan kita mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu seperti buah kurma. Ini adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita. Pengambilan makanan yang pedas serta berempah mungkin kurang digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri boleh menimbulkan ketidakselesaan pada perut.

Yang paling penting adalah untuk mengambil air yang mencukupi bagi menambahkan kandungan air di dalam badan setelah seharian menjalani puasa. Pengambilan air yang kurang akan menyebabkan dehidrasi. Selain itu, pelbagaikan juga pengambilan jenis makan berdasarkan Piramid Makanan.

3. Amalan sewaktu moreh (lewat malam)

Semasa lewat malam, makanan yang berat dengan kandungan karbohidrat yang tinggi seperti nasi, mi goreng, makanan ‘fastfood’ tidak digalakkan. Ini kerana waktu malam adalah waktu untuk badan berehat dan tidak memerlukan tenaga yang banyak. Sekiranya anda selesai bersembahyang terawih, boleh sahaja mengambil snek yang ringan tetapi dalam kuantiti yang berpatutan.

Umat Islam akan menyambut bulan puasa dalam beberapa hari lagi. Walaupun kita di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia adalah satu peluang untuk kita menambahkan amal ibadat dan menyemarakkan Ramadan bersama keluarga.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Perjuangan untuk terus bertahan: AirAsia dan Malaysia Airlines bakal bergabung?

Read Next

Skandal 1MDB: Wang milik UMNO Kedah, Habib Jewel belum dipulangkan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.