The Malaysia Post

Skandal 1MDB: Wang milik UMNO Kedah, Habib Jewel belum dipulangkan

Wang milik Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Habib Jewel Sdn Bhd yang masing-masing berjumlah RM1.05 juta dan RM100,000 yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masih belum dipulangkan kepada entiti terbabit disebabkan permohonan penangguhan oleh pihak pendakwaan.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman, ketika dihubungi.

“Wang itu masih belum diserahkan kepada mereka (UMNO Kedah dan Habib Jewel),” katanya ketika ditanya mengenai kedudukan wang berkenaan.

Dua entiti terbabit didakwa telah menerima wang daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dipercayai berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Md Som, berkata mahkamah menetapkan hari ini sebagai pengurusan kes permohonan pihak pendakwaan untuk penangguhan perintah Mahkamah Tinggi, yang menolak permohonan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM1.15 juta.

Wang itu adalah jumlah yang disita daripada dua entiti berkenaan, namun ditangguhkan berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Mahkamah menetapkan tarikh 9 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya. Saya sudah memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua pihak melalui e-mel,” katanya.

Pada 13 Disember tahun lalu, Hakim Mohd Nazlan Moh Ghazali menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak harta berkenaan, berdasarkan pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes pelucutan hak terhadap kedua-dua entiti itu.

Pada 16 Disember tahun lalu, kerajaan turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi.

Jun tahun lalu, SPRM memfailkan perlucutan hak harta terhadap 41 entiti, yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan bagi mendapatkan semula RM270 dana berkaitan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib Razak.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Menghadapi Ramadan: Amalan pemakanan sihat sepanjang bulan puasa

Read Next

Malaysia negara pertama daftarkan pesakit jalani ujian solidariti, untuk rawat COVID-19

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.