The Malaysia Post

Malaysia akan mula uji ubat klinikal rawat COVID-19 kepada pesakit tempatan, program ‘Kaji Selidik Solidariti’ oleh WHO

Demi memastikan lebih ramai rakyat tempatan pulih daripada pandemik COVID-19, Malaysia akan memulakan misi menguji ubat penawar COVID-19 yang dikatakan akan bermula pada bulan April ini.

Malaysia telah pun terpilih untuk menyertai “Kaji Selidik Solidariti” yang diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat bagi merawat COVID-19, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham memberitahu kepada pihak media bahawa Kementerian Kesihatan bakal memulakan ujian klinikal COVID-19 kepada pesakit tempatan dalam masa terdekat ini. Sembilan buah hospital di seluruh negara akan terlibat dalam usaha tersebut dan telah bersedia untuk menerima pesakit yang memenuhi kriteria yang diperlukan dalam ujian itu.

Hospital Sungai Buloh antara hospital yang terpilih untuk ujian klinikal COVID-19

Sembilan buah hospital yang terlibat ialah Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.

Kaji selidik itu bagi mengumpul data boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi ubat Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut menambah bahawa terdapat lima kumpulan pesakit yang akan dipertimbangkan dalam penyertaan kajian ini

“Kita akan lihat dari segi, kategori pertama, pesakit tersebut positif tetapi tiada gejala, mungkin kita tak akan masukkan, hanya yang ada gejala (kumpulan kedua) kita akan masukkan.

“Ketiga, ada radang tapi tak memerlukan oksigen, keempat, ada radang dan memerlukan oksigen dan kelima yang datang di peringkat lewat dan perlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Kaji selidik itu akan diketuai oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr Chow Ting Soo bersama-sama pasukan yang terdiri daripada 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital-hospital KKM masing-masing.

Kaji selidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat bagi menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya. Kejayaan kaji selidik ini akan melihat Malaysia sebagai rakan kongsi penting dalam kaji selidik untk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan, serta menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus COVID-19.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Warga netizen tak puas hati, kecam menteri dan pemimpin politik langgar PKP.

Read Next

Di sebalik isu COVID-19, kes denggi rekod lebih 37,000 kes seluruh negara dalam tempoh empat bulan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.