The Malaysia Post

Di sebalik isu COVID-19, kes denggi rekod lebih 37,000 kes seluruh negara dalam tempoh empat bulan

Sejak kali pertama COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik pada Mac lalu, ia bukan sahaja menjadi tumpuan dan isu kesihatan utama yang dititikberatkan oleh masyarakat negara ini bahkan juga seluruh dunia. Fokus dunia mula beralih kepada virus maut ini yang menyerang lebih daripada 190 buah negara dan melumpuhkan ekonomi dunia, dikatakan penguncupan ekonomi paling teruk sejak ‘The Great Depression’ yang berlaku pada 1930an.

Tetapi, terdapat ancaman lain yang tersembunyi di sebalik bawaan virus dari sayap kecil, iaitu penyakit denggi. Seperti mana penyakit COVID-19 yang belum ada rawatan tertentu bagi penyembuhannya, penyakit denggi juga masih belum ada penawar yang sesuai sehingga ke hari ini walaupun sudah dikesan seawal sekitar 1902 lagi.

Menurut sumber daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan Kementeria Kesihatan Malaysia (KKM) dari laman sesawang http://idengue.arsm.gov.my/, jumlah kes denggi terkumpul dari 29 Disember 2019 sehingga 19 April 2020 dicatatkan adalah sebanyak 37,840 kes.

Dari Januari sehingga 18 April, jumlah kes kematian disebabkan oleh kes denggi adalah sebanyak 63 orang.

Sejumlah besar kes denggi yang dilaporkan ini merekodkan negeri Selangor, WP Kuala Lumpur dan Johor sebagai tiga negeri teratas yang mengungguli  jumlah kes denggi tertinggi berbanding negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

Selangor mencatatkan sebanyak 22,826 kes denggi. Pada 19 April sahaja, sejumlah 50 kes yang dicatatkan berlaku hanya di negeri Selangor. Selain itu, Selangor juga melaporkan 7 kematian dalam sebulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozita Hod berkata walaupun jumlah kematian COVID-19 adalah lebih tinggi daripada denggi, namun jangan ambil remeh dengan bahaya denggi kerana jumlah kes penyakit bawaan nyamuk adalah lebih tinggi daripada wabak itu.

Dr Rozita juga menjelaskan peningkatan curahan air hujan pada musim ini boleh menjadi faktor pembiakan nyamuk Aedes.

“Kebiasaannya kadar pembiakan nyamuk Aedes tinggi semasa hujan kerana ketika itulah akan adanya air bertakung yang merupakan habitat populasi vektor berkenaan. Jadi, janganlah beranggapan duduk di rumah sahaja sudah cukup selamat atau perisai terbaik terhindar daripada denggi.

“Mungkin ada beranggapan rumah bersih tidak akan datangnya nyamuk Aedes. Tetapi, jangan lupa bahawa vektor itu hanya akan membiak pada air bersih dan bukannya kawasan kotor seperti air larut resap,” katanya.

Penyakit denggi disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes betina daripada spesies albopictus dan aegypti yang dijangkiti virus denggi. Kitaran hidup nyamuk Aedes bermula daripada telur sehingga dewasa hanya mengambil masa kira-kira seminggu.

Curahan air hujan boleh bertakung di mana-mana kawasan sudut rumah sama ada dalam bekas kosong, pasu bunga, tayar lama, kasut mahupun saliran atap sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk tanpa disedari.

Oleh itu, Dr Rozita mengingatkan orang ramai agar menggunakan masa PKP ini untuk membersihkan semua semua tempat takungan air yang boleh menjadi sarang pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Di samping itu, dinding bekas perlu diberus untuk membuang telur atau menyiram dengan air panas yang suhunya lebih 80 darjah celsius bagi membunuh telur tersebut.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Malaysia akan mula uji ubat klinikal rawat COVID-19 kepada pesakit tempatan, program ‘Kaji Selidik Solidariti’ oleh WHO

Read Next

Ingkar arahan PKP, dua lelaki didenda cuci tandas awam selama 3 bulan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.