The Malaysia Post

Cabaran menanti PM ke-8 teraju kerajaan baharu

Kerajaan baharu yang akan dibentuk dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan perlu memastikan pelaksanaan dasar yang efektif dan pembaharuan pembangunan nasional diteruskan tanpa kelewatan agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ketika ini, Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman daripada wabak koronavirus (Covid-19) hinggalah kepada perang perdagangan terhadap ekonomi, dasar dan pembaharuannya untuk merangsang ekonomi serta mengukuhkan asas negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meningkatkan penilaian risiko Covid-19 yang berpunca dari Wuhan, China kepada ‘sangat tinggi’. Pasaran seluruh dunia terjejas dengan implikasi daripada Covid-19. Virus berbahaya itu dilihat menjadi ancaman utama kepada ekonomi global kerana ia telah menular ke lebih daripada 50 negara di luar China.

Justeru, melindungi dan meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu perlu menjadi keutamaan kerajaan. Langkah-langkah seperti pembaharuan institusi perlu terus menjadi teras utama memandangkan pembaharuan seumpama itu sangat sejagat dan boleh diterima oleh semua pihak yang seterusnya akan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran kewangan serta dalam kalangan perniagaan serta pengguna.

Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada Khamis merupakan satu permulaan baik untuk menangani impak Covid-19 terutama bagi industri yang menerima kesan langsung daripadanya.

Bagaimanapun, hasilnya tidak akan berlaku segera. Pelabur, sama ada asing ataupun tempatan, akan terus melihat kepada peralihan kerajaan yang kukuh ke arah iklim politik stabil kerana ketidaktentuan dasar dan politik dijangka kekal pada tahap tertentu.

Pergolakan politik yang menyelubungi negara sejak seminggu lalu akhirnya selesai apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Muhyiddin, 72, yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah di hadapan Agong pada jam 10.30 pagi hari ini di Istana Negara.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Fungsi Yang Di-Pertuan Agong Semasa Kemelut Politik

Read Next

Muhyiddin mula tugas sebagai Perdana Menteri

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.