Billah Shah Menyatakan Hasrat Memandu Sepanjang Lebuhraya Pan Borneo
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menyatakan hasrat baginda untuk memandu di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Baginda bertitah berbesar hati dengan kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang bermula pada 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.
“Menjadi impian saya untuk memandu di Lebuhraya Pan Borneo, untuk saya mengenali orang saya di pedalaman Bumi Kenyalang (Sarawak) dan Negeri di Bawah Bayu (Sabah).
“Satu program jelajah sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak,” titah Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda ketika merasmikan penggal kedua Parlimen ke-15 di sini hari ini.
Baca Lagi | Michelle Yeoh Mempertahankan Pencalonan Oscar Andrea Riseborough
Baca Lagi | Penyanyi Malaysia Jamal Abdillah Ajak Peminat Menamakan Anak Keempatnya
Membangun dan Memperkasakan Ekonomi Negara
Baginda bertitah usaha membangunkan dan memperkasakan ekonomi negara termasuk di Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan selain memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kelestarian sektor pembinaan.
Al-Sultan Abdullah bertitah pembangunan kompleks mahkamah di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi perhatian bagi memantapkan pentadbiran perundangan.
“Jurang dalam pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik, termasuk Orang Asli, akan terus ditangani bagi mewujudkan masyarakat luar bandar yang berdaya tahan dan berdaya saing,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berkata kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ini termasuk memindahkan kuasa kawal selia untuk bekalan gas kepada kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya di Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal dan meningkatkan pemberian khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak.