KOTA TINGGI, 7 April 2025 – Kerajaan Malaysia melihat pendekatan rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah paling berkesan bagi menangani isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh negara kuasa besar dunia itu.
Rundingan Malaysia-AS Jalan Terbaik Tangani Krisis Tarif – Khaled Nordin
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kerajaan berharap perbincangan yang dirancang akan membuahkan hasil yang positif memandangkan Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang kukuh sejak sekian lama.
“Kita harap rundingan ini berjaya kerana Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan baik. Ini satu pendekatan terbaik bagi mengelakkan ketegangan ekonomi,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Parlimen dan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, hari ini.
AS Kenakan Tarif Tinggi: Malaysia Tergolong Antara Negara Terjejas
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan dasar tarif baharu melibatkan duti asas sebanyak 10 peratus ke atas semua produk import. Selain itu, beberapa negara termasuk Malaysia akan berdepan kadar tarif yang lebih tinggi bagi kategori produk tertentu.
Bermula 5 April 2025, semua produk Malaysia yang dieksport ke AS akan dikenakan sekurang-kurangnya 10 peratus duti. Manakala, bermula 9 April, kadar tersebut akan meningkat kepada 24 peratus bagi majoriti produk, kecuali bagi beberapa pengecualian tertentu.
Baca lagi | Perang Tarif Trump: Ke Mana Haluan ASEAN?
Tarif AS Sekat Perdagangan Bebas, Jejas Ekonomi Negara Berkembang
Mohamed Khaled turut menyatakan kebimbangannya terhadap dasar tarif tinggi yang dilihat sebagai cubaan AS untuk melaksanakan dasar perlindungan ekonomi (protectionism).
“Tindakan AS ini seolah-olah cuba menyekat perdagangan bebas antarabangsa. Apabila tarif dikenakan secara tinggi dan tidak munasabah, ia akan menghalang kemasukan produk negara lain ke pasaran AS. Ini boleh menyebabkan kemerosotan ekonomi bagi negara-negara membangun termasuk Malaysia,” jelasnya.
Baca lagi | Trump Tangguh Tarif Kanada & Mexico
Perdana Menteri Tegaskan Tindakan Malaysia Berpaksikan Kepentingan Strategik
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan menangani isu cabaran tarif yang dihadapi negara dengan langkah yang tenang dan berhemah, tanpa membuat keputusan terburu-buru. Dalam satu kenyataan video, beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk mencari penyelesaian yang menjaga kepentingan strategik Malaysia.
Menurut Anwar, fokus utama kerajaan adalah memastikan pasaran eksport Malaysia kekal terbuka, terus menarik pelaburan asing, dan dalam masa yang sama melindungi kebajikan pekerja serta industri tempatan. Ini penting bagi mengekalkan daya saing ekonomi negara dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Meskipun tekanan tarif memberi kesan terhadap eksport negara, Malaysia tetap berpegang kepada prinsip perdagangan bebas dan adil. Negara juga terus menjalin kerjasama erat dengan rakan dagang dan organisasi antarabangsa dalam usaha mengekalkan kestabilan ekonomi global dan memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di mata dunia.