The Malaysia Post

Yang di-Pertuan Agong belum yakin ada majoriti untuk bentuk kerajaan baru

Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Perdana Menteri interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan mahu membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti, semalam.

Pakatan Harapan (PH) telah mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Manakala, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Bersatu yang tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan telah membuat keputusan itu setelah Mesyuarat Ahli Dewan Parlimen parti Bersatu, semalam yang dihadiri oleh 36 Ahli Parlimen parti itu.

Sementara itu, Muafakat Nasional mahu parlimen dibubarkan.

Anwar kini dikatakan mempunyai pencalonan terbanyak dengan kira-kira 90 anggota parlimen. Bagaimanapun, dengan sokongan itu, beliau hanya berpeluang membentuk kerajaan minoriti.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof tengah hari tadi menolak mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin depan, yang dipanggil oleh Mahathir. Surat pemakluman memanggil mesyuarat itu tidak mengikut peraturan kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Ahmad Fadil juga berkata Seri Paduka Baginda akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan negara. Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Raja-raja pagi tadi.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Muhyiddin dicalonkan sebagai Perdana Menteri oleh Bersatu

Read Next

Pengerusi UMNO Johor angkat sumpah sebagai MB

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.