The Malaysia Post

Muhyiddin dicalonkan sebagai Perdana Menteri oleh Bersatu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri kelapan bagi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam kenyataan hari ini, selepas Mesyuarat Ahli Dewan Parlimen parti itu yang dihadiri oleh 36 ahli parlimen dan turut dihadiri Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur, hari ini.

“Mesyuarat ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu hari ini memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu dan anggota parlimen Pagoh, sebagai perdana menteri kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” katanya yang juga anggota parlimen Tasek Gelugor.

Kesemua 36 ahli Parlimen itu termasuk 10 ahli Dewan Rakyat daripada kumpulan bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Gombak yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

10 bekas Ahli Parlimen PKR itu kini sah menjadi ahli BERSATU.

Mereka adalah Mohamed Azmin, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjadi ahli bersekutu parti itu.

Rabu lalu, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

COVID-19: Malaysia catat tiga kes baru dalam tempoh 24 jam

Read Next

Yang di-Pertuan Agong belum yakin ada majoriti untuk bentuk kerajaan baru

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.