Peruntukan kerusi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih belum dimuktamadkan, kata naib pengerusinya Datuk Seri Wee Ka Siong.
Wee berkata walaupun beberapa perbincangan telah dimuktamadkan, aspek lain masih diteruskan buat masa ini.
“Sesetengahnya sudah selesai, tetapi ia masih merupakan proses berterusan. Apabila tiba masanya, kita akan umumkan,” katanya kepada media selepas mesyuarat majlis tertinggi BN malam ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Wee yang juga presiden parti komponen BN MCA bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkata perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata parti komponen telah memberi taklimat pada mesyuarat malam ini mengenai persiapan mereka menghadapi pilihan raya umum.
“Majlis tertinggi berpuas hati dengan persiapan yang sedang dijalankan di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri di seluruh negara,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu semua pemimpin parti komponen BN di peringkat bahagian dan negeri supaya tidak membincangkan isu pembahagian kerusi bagi PRU15.
Beliau berkata perkara itu harus diserahkan kepada pemimpin BN di peringkat tertinggi serta biro politik BN demi menjaga keharmonian dalam gabungan itu.