Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan penduduk di kawasan yang dilanda banjir supaya berpindah jika diarahkan pihak berkuasa berbuat demikian.
Beliau berkata perintah pemindahan dikeluarkan atas faktor keselamatan, kerana pihak berkuasa boleh meramalkan kemungkinan bahaya berdasarkan ramalan cuaca.
“Kami juga bimbang banjir gelombang kedua boleh berlaku. Lebih baik bergerak jika diminta. Saya ada jumpa mangsa yang mengatakan tidak menyangka air banjir naik begitu mendadak,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Buntar di sini hari ini, yang menempatkan 145 mangsa setakat tengah hari tadi.
Beliau juga berkata bagi mengelak kejadian tidak diingini, negeri yang tidak “biasa mengendalikan banjir” perlu membuat persiapan yang sewajarnya sebaik Jabatan Meteorologi mengeluarkan ramalan cuaca buruk.
Beliau berkata keadaan berbeza di negeri yang dilanda banjir setiap tahun, di mana mereka akan membuat persiapan awal termasuk mengenal pasti dan menyediakan PPS.
“Apabila amaran (cuaca buruk) dikeluarkan, saya harap mereka akan membuat persiapan terutamanya dari segi Pusat Perintah Bencana seperti menyediakan bot,” katanya.
Ismail Sabri berkata persiapan itu perlu merangkumi kerja-kerja pembersihan sistem perparitan bagi membantu mengurangkan kerosakan akibat banjir.
Sementara itu, mangsa yang dipindahkan Tiamah Ramli, 72, berkata Ismail Sabri menasihatinya supaya menjaga kesihatan dan kesejahteraannya walaupun mungkin bimbang dengan keadaan rumahnya di Kampung Mengkarak di sini.
“Beliau juga bertanya sama ada kami selesa berada di sini dengan perkara yang biasa ditanya kerana saya sudah beberapa kali berjumpa dengannya di PPS memandangkan rumah saya berada di kawasan rendah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Laili Mattab, 66, dari Kampung Kubang Panjang di sini, berkata perdana menteri menasihatkan beliau supaya bersabar dalam menghadapi pusingan banjir terbaru ini.
Baca Lagi | Pindah bila diberitahu, PM gesa mangsa banjir
“Kali pertama ia berlaku pada Januari. Walaupun keadaan sukar, saya berterima kasih kepada banyak pihak yang telah menunjukkan simpati dan menyumbang bantuan dalam bentuk makanan dan pakaian,” katanya.