Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengarahkan Akademi Sains Malaysia membuat kajian terhadap peratusan sebenar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak melanjutkan pelajaran.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata penyelidikan itu dijalankan bagi mengesahkan kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai yang mengumumkan lebih 70 peratus pelajar lepasan SPM tidak akan melanjutkan pelajaran.
Beliau berkata jika angka itu tepat, ia adalah isu membimbangkan yang boleh menghalang rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara teknologi tinggi menjelang 2030.
Menurutnya, penemuan itu akan dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan susulan.
“Isu 70 peratus keciciran pelajar lepasan SPM perlu disahkan. Oleh itu, saya telah meminta Akademi Sains Malaysia mengkaji semula perkara itu.
“Ini kerana jika ia benar-benar 70 peratus keciciran, ia akan menjadi satu kerugian besar kepada negara, dan apakah langkah awal yang perlu kita ambil untuk melahirkan generasi teknologi tinggi yang berminat dalam sains dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sempena Minggu Sains Kebangsaan Keluarga Malaysia 2022 di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, lebih 1.67 juta peserta direkodkan untuk Minggu Sains Kebangsaan Keluarga Malaysia 2022 di seluruh negara membabitkan sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi serta individu yang menjalankan penyelidikan.
Jumlah tersebut melepasi sasaran asal 1.5 juta peserta menjelang Oktober.
Sejak dilancarkan pada 1 April lalu, sebanyak 175 program berkaitan telah dianjurkan.