The Malaysia Post

Majlis Perkahwinan di Malaysia Antara Paling Mahal di ASEAN, Boleh Cecah Kos RM200,000

Majlis perkahwinan di Malaysia bukan sekadar penyatuan dua insan yang berjanji setia untuk sehidup semati, malah ia turut menjadi acara besar-besaran untuk meraikan ikatan keluarga serta merapatkan silaturahim dengan sanak saudara dan rakan taulan.

Namun, di sebalik kemeriahan dan keindahan majlis tersebut, tersembunyi realiti yang agak membebankan — iaitu kos penganjuran majlis yang semakin hari semakin tinggi. Ramai pasangan muda mungkin tidak sedar akan beban kewangan yang menanti mereka di sebalik acara yang dianggap sekali seumur hidup ini.

Kos Majlis Perkahwinan di Malaysia Melonjak Drastik

Menurut Profesor Keusahawanan dan Perniagaan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, purata perbelanjaan untuk sebuah majlis perkahwinan di Malaysia kini dianggarkan antara RM50,000 hingga RM200,000.

Beliau menjelaskan bahawa faktor seperti kadar inflasi yang semakin meningkat, kenaikan kos katering, serta harapan masyarakat untuk menganjurkan majlis yang gah, mendorong kos tersebut terus melonjak.

“Perbelanjaan majlis perkahwinan di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ASEAN,” katanya.

Sebagai perbandingan, pasangan di Kemboja hanya membelanjakan sekitar AS$15,000 (kira-kira RM71,000) manakala di Filipina, kos purata hanyalah sekitar AS$4,800 (sekitar RM22,800) — jauh lebih rendah berbanding di Malaysia.

Budaya dan Harapan Mempengaruhi Perbelanjaan Majlis Perkahwinan

Kajian mendapati, kaum Cina di Malaysia cenderung membelanjakan lebih untuk lokasi eksklusif dan makanan katering bertaraf lima bintang. Sementara itu, pasangan Melayu dan India pula lebih menitikberatkan aspek dekorasi majlis yang mewah serta rekaan jemputan yang kompleks.

Tidak kira latar belakang budaya, tekanan untuk memenuhi standard masyarakat menyebabkan ramai pasangan terpaksa berbelanja melebihi kemampuan sebenar mereka. Ada pasangan yang mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit, dengan hutang mencecah antara RM30,000 hingga RM100,000 hanya untuk melunaskan kos majlis.

Risiko Kewangan Rakyat Malaysia Yang Membimbangkan

Situasi ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa. Jabatan Insolvensi Malaysia mengesahkan bahawa beban kewangan berkaitan majlis perkahwinan telah menjadi antara faktor utama peningkatan kes kebankrapan di kalangan belia Malaysia.

Nik Maheran turut memberi amaran bahawa keputusan untuk berhutang semata-mata demi menganjurkan majlis perkahwinan yang mewah boleh membawa implikasi kewangan jangka panjang yang serius.

“Kita melihat semakin ramai anak muda yang muflis sebelum sempat mencapai kematangan kewangan sebenar dalam hidup mereka,” ujarnya.

Baca juga:

Kadar Perkahwinan di Malaysia Mula Menurun

Dalam pada itu, masalah kewangan yang berpunca daripada kos perkahwinan tinggi turut memberi kesan kepada trend perkahwinan di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

Data terkini menunjukkan kadar perkahwinan dalam komuniti Cina di Malaysia pula mengalami penurunan ketara, iaitu daripada 9.8 per 1,000 orang pada tahun 2016 kepada hanya 6.6 per 1,000 orang pada tahun 2022 dan dijangka akan terus menurun sehingga 2024 dan seterusnya, sekiranya isu kos hidup dan tekanan sosial tidak ditangani dengan serius.

Untuk pelbagai lagi info dan berita menarik yang lain, terus klik DI SINI!

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

TMJ Bina Legasi Hebat Bersama JDT, Dominasi Bola Sepak Malaysia

Read Next

Mahkamah Rayuan Bebaskan Yasin Sulaiman, Diperintah Kembali ke Hospital Bahagia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *