Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dipercayai mengetuai delegasi 73 ketua bahagian Umno ke Seri Perdana di Putrajaya menjelang pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut laporan Malaysia Gazette, sumber yang rapat dengan perkara itu turut mendakwa naib presiden Umno Datuk Seri Khaled Nordin turut hadir.
Ini susulan mesyuarat tergempar di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) awal hari ini, yang menyaksikan sebilangan ketua bahagian Umno hadir berbincang untuk mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU15), serta memohon Ismail Sabri campur tangan dalam rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan SRC International.
Sinar Harian juga melaporkan perkara yang sama, mendakwa apa yang dipanggil “Lima Teratas” Umno tiba di kompleks Seri Perdana awal hari ini.
Akhbar itu mendakwa ternampak Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid memasuki premis itu kira-kira jam 6 petang.
Sumber turut memaklumkan Sinar Harian bahawa kumpulan itu akan bertemu Ismail Sabri pada pukul 8 malam.