The Malaysia Post

Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar guna tenaga belia, kata menteri

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan untuk golongan belia, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan golongan itu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara inisiatif itu ialah melaksanakan program Kerjaya Belia (Y-Career) dan Skill for Youth (S4Y) yang menyediakan perkhidmatan pemadanan pekerjaan serta latihan intensif untuk belia.

“Sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan di sini, terdapat lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Y-Career.

“Manakala menerusi program S4Y, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk menyediakan 2,000 kursus latihan (untuk belia),” katanya pada sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob , di Padang Pekan Tuaran hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapan perasmiannya berkata kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur antara 15 dan 40 tahun di seluruh negara telah menurun kepada 5.3 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Selaras dengan tema sambutan

Hari Belia Negara tahun ini iaitu “Ini Masa Kita”, Ahmad Faizal berkata golongan belia tidak boleh lagi menggunakan pendekatan “tunggu dan lihat”.

Sebaliknya, beliau berkata golongan belia perlu terus maju ke hadapan dan berusaha memperbaiki diri, terutama selepas negara berdepan situasi sukar akibat penularan wabak Covid-19.

Ahmad Faizal berkata berdasarkan penemuan Indeks Belia Malaysia pada 2021 bagi domain ekonomi, skor bagi kebolehpasaran berada pada tahap tidak memuaskan iaitu 59.07.

Baca Lagi | Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar guna tenaga belia, kata menteri

Sehubungan itu, beliau berkata KBS amat menitikberatkan inovasi berasaskan revolusi industri 4.0 dan usaha memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bagi memenuhi keperluan pasaran buruh.

Beliau juga berkata lebih RM25.5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk memperkasakan pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi tempoh 2021 hingga 2025. ― Bernama

Read Previous

BTS mungkin sedang berehat, tetapi kegilaan terhadap kumpulan lelaki itu masih berterusan

Read Next

AS bergelut untuk memenuhi permintaan vaksin monkeypox

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *