Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan pada 19 Februari adalah berdasarkan konsep “jaminan pekerjaan” dengan 600,000 peluang pekerjaan diwujudkan, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata inisiatif itu yang melibatkan peruntukan RM4.8 bilion akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kami akan menganjurkan siri Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang pertama tahun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Karnival itu akan melibatkan 50 majikan dengan lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan.
“Selain itu, terdapat aktiviti seperti kaunseling kerjaya, sesi temu duga dengan majikan, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs, dan lain-lain,” kata Tengku Zafrul sebagai tetamu dalam program Agenda Awani bertajuk “Ketahanan Ekonomi Keluarga Malaysia” hari ini.
Inisiatif JaminKerja adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
JaminKerja terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Pekerjaan JaminKerja, Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) dan Program Peningkatan Latihan dan Kemahiran.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan berjaya menjana hampir 560,000 pekerjaan pada tahun lalu, melebihi sasaran awal 500,000 pekerjaan.
“Jika dilihat kepada penurunan kadar pengangguran seperti yang saya nyatakan tadi, secara logiknya, seluruh Keluarga Malaysia serta netizen sudah boleh mengagak kejayaan mewujudkan hampir 560,000 peluang pekerjaan banyak menyumbang kepada penurunan ini,” katanya.
Bagi Insentif Pekerjaan JaminKerja, beliau berkata permohonan insentif itu dibuka mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 dan permohonan boleh dibuat melalui laman web Perkeso.
Selain itu, Program MySTEP akan dilanjutkan tahun ini dengan 80,000 peluang pekerjaan disasarkan.
“Ini adalah program pekerjaan kontrak jangka pendek dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja,” katanya sambil menambah 61,000 pekerjaan telah diwujudkan, melepasi sasaran tahun lepas iaitu 50,000.
Beliau berkata kerajaan juga menyasarkan seramai 220,000 pelatih akan menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran (Reskilling & Upskilling) dan sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Baca Lagi | Inisiatif JaminKerja 2022 untuk mewujudkan 600,000 pekerjaan berdasarkan konsep ‘jobs guarantee’
Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah program “tempat dan latih” (latihan + keselamatan kerja), katanya.