Cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membenarkan cawangan parti politik diwujudkan di kampus ditentang keras oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM). Ammar Syabil, Timbalan Speaker KMUKM, menyatakan bahawa cadangan ini akan menyebabkan institut terbabit menjadi gelanggang politik semata-mata dan hilang tujuan hakikinya iaitu tempat untuk menimba ilmu.
Menurut Ammar, cawangan-cawangan parti politik di kampus akan dijadikan pusat ahli politik mendoktrinasi mahasiswa seperti menerapkan budaya kronisme, fitnah-memfitnah dan tingkah laku fanatik yang merosakkan objektif pemerkasaan mahasiswa yang sihat dan matang. Jelas dapat dipastikan bahawa penubuhan cawangan parti politik di kampus akan memberi impak buruk kepada gerakan-gerakan mahasiswa yang ditubuhkan dengan objektif untuk memupuk amalan demokrasi dan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Politik nasional tidak efektif untuk isu-isu mahasiswa
Ammar menambah bahawa parti politik nasional tidak mempunyai pengaruh efektif dalam menyelesaikan isu-isu mahasiswa seperti kebajikan dan pentadbiran golongan terbabit. Mahasiswa sudah pun mengamalkan politik yang matang melalui platform gerakan mahasiswa yang ada di universiti, dan perbahasan dan perkongsian ilmu dilakukan melalui platform-platform ini bagi memperkasakan pemikiran politik matang dalam kalangan mahasiswa.
Baca lagi | Pelancaran roket H3 JAXA gagal lagi
KMUKM mencadangkan dua perkara kepada kerajaan untuk diperhatikan agar objektif pemerkasaan mahasiswa dapat dicapai, iaitu pihak KPT perlu mengadakan sesi TownHall bersama wakil-wakil Kesatuan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) agar solusi yang lebih menyeluruh dapat dibincangkan, dan KPT juga harus menyediakan platform untuk parti politik nasional mahasiswa berkongsi ilmu dan dasar melalui forum, perbahasan dan bengkel.
Amalan demokrasi akan terhalang
Ammar menegaskan bahawa cadangan KPT untuk membenarkan cawangan parti dalam kampus tidak menyuburkan amalan demokrasi dalam kalangan mahasiswa sebaliknya merosakkan tingkah laku dan sifat politik matang mereka, dan berharap pihak KPT mengambil maklum atas perkara ini dan mempertimbangkan semula cadangan untuk menubuhkan cawangan parti di kampus.
Baca lagi | Selangor FC muncul saat akhir dengan 1-1
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini telah berkata bahawa kementerian tidak menolak kemungkinan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan di kampus universiti kerana beberapa rang undang-undang telah dipinda dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.