The Malaysia Post

Dua pengadil wanita serikan saingan Liga Malaysia buat pertama kali

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang bakal membuka tirai bermula 28 Februari ini bakal diserikan dengan kelibat pengadil wanita buat julung-julung kalinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, seorang pengadil dan seorang penolong pengadil wanita telah dipilih untuk menggalas tugas mengendalikan Liga Super dan Liga Premier tahun ini.

“Ini adalah salah satu usaha FAM untuk mengetengahkan bakat pengadil wanita. Mereka telah lulus ujian kecergasan dan mempunyai bakat, dan kita berasa mereka memang layak diketengahkan.

“Selain itu, kita juga telah melatih tambahan 30 pengadil dan penolong pengadil baharu bagi musim ini, sebagai usaha untuk menjaga kesinambungan dalam melahirkan pengadil tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengadilan dan undang-undang bola sepak di Wisma FAM, di sini hari ini.

Sementara itu, Md Dali turut mengesahkan bahawa jawatankuasa tersebut telah mengenal pasti senarai pengadil dan pegawai perlawanan yang akan mengendalikan perlawanan pembukaan musim ini iaitu Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Kedah pada 28 Februari ini tetapi tidak mendedahkan butiran mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa pengadil tempatan akan terus diberi keutamaan dalam mengadili perlawanan Liga-M termasuk perlawanan penting serta melibatkan aksi Piala Malaysia dan Piala FA.

“Pengadil kita berkualiti dan mendapat pengiktirafan daripada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA untuk mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa. Tetapi terpulang kepada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), sekiranya ada permintaan dari mereka, mungkin kita akan lihat bagaimana.

“Kita juga telah mengelakkan pengadil yang lahir di sesebuah negeri mengadili perlawanan melibatkan negeri yang sama sejak tahun lalu. Kita tahu pengadil memang profesional dalam tugas mereka, tetapi tidak mahu ia dijadikan isu oleh netizen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seminar selama sehari anjuran bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan FAM dapat membantu wartawan dan pegawai media pasukan memahami undang-undang bola sepak dengan lebih mendalam.

Presiden SAM, Jasni Shafie berkata, wartawan bertauliah perlu mempunyai pengetahuan yang baik untuk menyalurkan maklumat kepada umum termasuk mempersoalkan kesilapan pengadil dalam sesebuah perlawanan.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Bayi maut dalam kebakaran, ditinggal sendirian di rumah

Read Next

Persidangan dua cawangan BERSATU perlu diadakan semula

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.