The Malaysia Post

“Bring It On!” – Dr Akmal Saleh Cabar DAP

Ketegangan politik antara sayap Pemuda dua parti utama dalam Kerajaan Perpaduan semakin meruncing apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, memberi peringatan tegas kepada DAP berhubung gesaan untuk memutuskan hubungan politik dengannya.

Putus Hubungan Dengan Saya Bermakna Putus Dengan UMNO – Dr Akmal Saleh

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka menyifatkan tindakan sedemikian akan memberi implikasi besar bukan sahaja kepada beliau secara peribadi, tetapi kepada keseluruhan struktur kerjasama antara UMNO dan DAP.

“Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Ok. Bring it on,” tegas beliau menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan ini susulan desakan oleh DAP Pulau Pinang agar kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan sebarang bentuk hubungan dengan Dr Akmal, berikutan tindakannya yang disifatkan sebagai provokatif dalam satu demonstrasi yang berlangsung di Kepala Batas.

Krisis Antara Dr Akmal Saleh dan DAP Tercetus Selepas Demonstrasi Isu Jalur Gemilang Terbalik

Ketegangan tercetus selepas Dr Akmal mengetuai satu demonstrasi aman di hadapan sebuah premis logam di Kepala Batas yang didakwa menggantung Jalur Gemilang secara terbalik, satu tindakan yang dianggap menghina simbol negara. Demonstrasi itu mendapat perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi politik, termasuk daripada DAP.

DAP, melalui Setiausaha Agungnya Anthony Loke, telah mengarahkan semua cabang Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Dr Akmal. Susulan itu, beliau dijangka akan disiasat mengikut peruntukan berikut:

  • Seksyen 503 Kanun Keseksaan – Menakutkan secara jenayah
  • Seksyen 504 Kanun Keseksaan – Mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat menimbulkan kekacauan

Namun begitu, Dr Akmal menegaskan bahawa perhimpunan yang dianjurkan adalah secara aman tanpa sebarang provokasi ekstrem.

“Kami tidak pijak gambar sesiapa. Tiada provokasi melampau. Kalau mahu buat laporan polis, silakan. Saya sedia beri kerjasama. Tetapi untuk takut kepada kamu? Tidak sama sekali,” katanya.

Perbandingan DAP Zaman Pembangkang & Sekarang

Dalam satu lagi hantaran berasingan, Dr Akmal membangkitkan isu sikap “double standard” DAP yang didakwanya sering melanggar arahan polis sewaktu menjadi pembangkang dahulu.

“Dahulu kamu berhimpun walaupun polis beri amaran. Siap kereta diterbalikkan dan gambar pemimpin dipijak. Tapi sekarang, bila kami berhimpun secara aman, kamu mahu guna undang-undang?,” sindir beliau.

Kenyataan itu sekali gus mencerminkan keresahan UMNO terhadap tindakan sayap DAP yang dilihat tidak konsisten dalam memahami kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Baca juga:

Implikasi Politik: Keretakan Dalam Kerajaan Perpaduan?

Kenyataan tegas Dr Akmal jelas memperlihatkan bahawa pemutusan hubungan peribadi terhadap beliau bukanlah isu kecil, sebaliknya memberi kesan domino terhadap hubungan antara Pemuda UMNO, UMNO secara keseluruhan, dan struktur Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

Dalam konteks politik semasa, kenyataan ini dilihat sebagai isyarat amaran kepada DAP agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan tindakan terhadap rakan dalam gabungan yang sama, terutama apabila melibatkan sensitiviti parti dan hubungan antara kaum.

Sebarang keretakan dalam hubungan antara sayap Pemuda UMNO dan DAPSY boleh mencetuskan ketidakharmonian dalaman gabungan, sekali gus mengancam kestabilan politik yang sedang cuba dibina selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Hot FM Bekpes Hot Skuba: Misi Siaran Langsung Dari Dasar Laut Pertama Di Malaysia

Read Next

Anwar Ibrahim Arah Tindakan Tegas Terhadap Penghasut Kebencian

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *