Pengarah filem kontroversi, Khairi Anwar Jailani dan penulis skrip Mentega Terbang, Arjun Thanaraju melaporkan kejadian kereta disimbah dengan cat dan asid kepada pihak polis pada 16 Mac yang lepas. Beberapa imej kejadian tersebut di Kajang dan Ampang telah menjadi viral di media sosial semenjak dari semalam menunjukkan keadaan kedua-dua kenderaan, sebuah Proton Saga dan sebuah Toyota Vios, selain catatan ugutan kematian yang ditinggalkan oleh pelaku.
Nota ugutan yang tertulis ‘Lu dengan family mesti mati’ (Kau dan keluarga kau mesti mati), ‘Mentega Terbang jangan cabar agama Islam’ dan ‘Ingat family selamat, Mentega Terbang” ditinggalkan pada kedua-dua kereta yang sudah tercemar dengan cat tersebut.
Baca lagi | Zahid Hamidi Sanggup Disiasat Terhadap Aduan Politik
Peguam yang mewakili kedua-dua individu itu, Zaid Malek, mengatakan kedua-dua kliennya menyedari kejadian awal pagi semalam dan membuat laporan polis berasingan di Balai Polis Kajang dan Balai Polis Ampang. “Kereta Khairi disimbah dengan cat, manakala kereta Arjun disimbah dengan cat dan sesuatu bahan korosif.
Pihak ‘Mentega Terbang’ dikritik pedas di media sosial
“Pada kedua-dua kereta itu, mereka menemui beberapa nota yang mengatakan filem Mentega Terbang menghina Islam,” kata Zaid dalam temu ramah bersama Berita Harian semalam. Beliau menambah bahawa sejak Mentega Terbang menjadi kontroversi, banyak pihak yang terlibat dalam filem itu, termasuk pelakon dan kru telah menerima ancaman dan kritikan di media sosial.
“Dan satu perkara yang menyusahkan kami ialah bagaimana suspek mengetahui di mana mereka tinggal dan kereta apa yang mereka pandu?” katanya.
Baca lagi | Aaron Kwok Akan Terbang Ke Malaysia
Zaid berkata walaupun ada yang tidak bersetuju dengan kandungan filem, pelakon dan kru tidak patut diganggu dan diugut sedemikian rupa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, dalam balasan kepada laporan portal berita turut mengutuk tindakan itu.
“Saya mengutuk keras ancaman ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.
“Patuhi undang-undang, jangan ambil tindakan dengan tangan sendiri.”
Pengguna internet juga menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dan mengatakan tindakan sedemikian hanya akan mencemarkan imej Islam.
Perbuatan mengugut, mengancam tetap salah
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan, apabila dihubungi berkata penyiasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan pada harta benda dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan terhadap tindakan membuat ugutan mati kepada mangsa.
Sehingga kini, tiada penangkapan telah dibuat dalam kes ini.
Kejadian seperti ini menunjukkan bahawa kebebasan berekspresi di Malaysia masih terbatas dan masih ada pihak-pihak yang menggunakan tindakan ganas untuk mengekang kebebasan ini. Walaupun ada perbezaan pendapat, tindakan mengugut dan mencemarkan harta benda tidak dapat dibenarkan.