Polis Negeri Sembilan memperketatkan pemantauan terutama di 18 laluan hotspot seluruh negeri yang dijangka sesak berikutan peningkatan jumlah kenderaan sempena sambutan Aidiladha esok.
Ketua Polis negeri Datuk Ruslan Khalid berkata laluan itu melibatkan empat lokasi di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Nilai (tiga), Seremban (dua), Tampin (dua), Kuala Pilah (dua), Jempol (dua) manakala satu lokasi masing-masing di Port Dickson, Jelebu dan Rembau.
“Seramai 303 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu. Polis akan melakukan rondaan di lebuh raya serta jalan persekutuan dan negeri dengan penugasan khas daripada bahagian trafik, kenderaan peronda bergerak (MPV), unit peronda motosikal (URB) dan ketua balai polis.
“Penguatkuasaan sudah pun bermula semalam dan ia akan berlangsung sehingga 11 Julai ini dan dalam operasi ini, kita lebih fokus kepada kelancaran trafik. Tindakan penguatkuasaan hanya dikenakan jika kesalahan itu berlaku secara terbuka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu
beliau berkata sebanyak 790,000 atau peningkatan 75 peratus kenderaan dijangka memasuki negeri ini sempena Aidiladha berbanding 451,000 kenderaan pada hari biasa.
Ruslan menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke Johor dari Kuala Lumpur menggunakan terus laluan PLUS, manakala mereka yang ingin ke Negeri Sembilan atau Melaka boleh menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban serta jalan persekutuan dan negeri.
“Bagi mereka yang ingin ke pantai timur dari Kuala Lumpur melalui negeri boleh menggunakan jalan persekutuan dan negeri seperti Jalan Jelebu atau Kuala Pilah ke Muadzam Shah, bagi mengelak kesesakan,” katanya.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan mematuhi arahan polis serta trafik serta tidak memotong barisan menggunakan lorong kecemasan.
“Mereka yang berada di kampung perlu sentiasa berhati-hati kerana kenderaan semakin bertambah dan keadaan menjadi luar biasa pada musim perayaan ini selain tidak membenarkan kenderaan mereka dipandu oleh individu yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya. berkata. — Bernama