The Malaysia Post

UMNO Sabah Ramal Sidang DUN Terakhir Sebelum PRN Negeri

KOTA KINABALU, 12 April 2025 – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan berlangsung selama empat hari mulai Isnin depan dijangka menjadi sidang terakhir sebelum DUN dibubarkan bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baharu, kata Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut beliau, sidang kali ini bukan sekadar pertemuan rutin seperti sebelumnya, sebaliknya ia merupakan platform penting untuk membahaskan secara terbuka pelbagai isu besar yang membelenggu rakyat Sabah ketika ini.

“Ini bukan sidang biasa. Ia sangat signifikan kerana berkemungkinan menjadi yang terakhir sebelum PRN. Oleh itu, adalah sangat penting untuk menjadikan persidangan ini medan kepada wakil rakyat menyuarakan kebimbangan rakyat dan menuntut penjelasan berkenaan isu-isu kritikal negeri,” katanya dalam satu kenyataan media.

UMNO Sabah Seru Fokus Utama Sidang DUN Sebelum PRN Negeri

Bung Moktar mengingatkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh sewenang-wenangnya menolak suara rakyat yang menuntut ketelusan dalam tadbir urus, pelaburan negeri, pengurusan hasil bumi termasuk tanah serta projek-projek mega yang melibatkan dana besar.

“Kita tidak boleh terus berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja sedangkan masih banyak persoalan tidak terjawab. Peranan semak dan imbang perlu dijalankan secara jujur dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat,” katanya.

Baca lagi | Shafie mendakwa anggota parlimen Sabah yang berhenti dari Warisan menawarkan rasuah kepada ADUN lain

Sabah Kaya di Atas Kertas, Tetapi Rakyat Menderita – Bung Moktar

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga menegaskan bahawa rakyat Sabah masih terperangkap dalam kemiskinan, pengangguran dan jurang pembangunan yang semakin ketara antara bandar dan luar bandar, walaupun negeri itu dikatakan kaya dengan sumber asli.

“Jangan kita terus menjadi negeri yang ‘kaya atas kertas’ tetapi miskin dalam realiti kehidupan rakyat. Segala persoalan yang membelenggu rakyat perlu dibawa ke sidang DUN dan dibahas secara telus,” katanya.

Baca lagi | GRS dan Pakatan Harapan Sabah Sepakat Bangunkan Negeri

UMNO Desak GRS Jawab Persoalan, Bukan Lari Daripada Perbahasan

Beliau turut mencabar kerajaan negeri agar tidak melarikan diri daripada perbahasan dengan memberi pelbagai alasan atau bersikap defensif.

“Jika kerajaan tidak bersalah atau tidak ada yang mahu disembunyikan, maka buktikan dengan fakta dan data. Rakyat berhak tahu apa yang sedang berlaku,” tegasnya.

Dalam pada itu, Bung Moktar menyeru semua wakil rakyat—sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang—untuk mengenepikan kepentingan peribadi dan parti demi kesejahteraan negeri.

“Sabah sedang menunggu jawapan. Rakyat sudah letih dengan alasan dan permainan politik. Dewan ini seharusnya menjadi tempat menjawab persoalan rakyat, bukan medan menyusun skrip politik,” katanya lagi.

Peringatan Speaker DUN Kepada Semua ADUN Sabah

Sementara itu, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya sebelum ini telah menasihati semua Ahli Dewan supaya tidak mempolitikkan ucapan dasar kerajaan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, semasa pembukaan rasmi Penggal Kelima DUN Sabah Ke-16.

Beliau turut mengingatkan agar perbahasan tidak menjurus kepada perkara-perkara yang tidak disebut dalam ucapan rasmi Tun Musa.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Pencabar Erdogan, Ekrem Imamoglu Tampil Pertama Kali di Mahkamah

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *