Majikan di sektor swasta digesa memberi cuti bergaji kepada pekerja mereka yang terjejas akibat kejadian banjir dan lonjakan air yang berlaku di daerah ini baru-baru ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata ini bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada kerja pasca banjir termasuk membersihkan rumah.
“Mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memberi tumpuan kepada keluarga mereka, untuk mencari makanan dan tempat tinggal. Rumah mereka juga dilitupi lumpur tebal, jadi kita mahu mereka fokus pada kerja-kerja pembersihan terlebih dahulu.
“Saya harap mereka diberi cuti bergaji. Jangan potong gaji mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan di Surau An-Nur di sini hari ini.
Awang berkata ketua jabatan dalam sektor awam juga digesa memberikan cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terjejas akibat bencana itu.
Langkah sedemikian boleh membantu meningkatkan motivasi
dan produktiviti mereka apabila mereka kembali bekerja kerana mereka akan dapat menyelesaikan masalah mereka tanpa sebarang kekangan, tambahnya.
Awang juga berkata pekerja yang tidak dibenarkan mengambil cuti kecemasan boleh membuat laporan melalui aplikasi Working For Workers bagi memudahkan kementerian menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Insya-Allah, kami akan mengambil tindakan segera untuk menyiasat dan kami akan memberi pendapat atau nasihat supaya tidak menjejaskan kedua-dua pihak,” katanya sambil menambah bahawa tindakan boleh diambil terhadap majikan jika mereka didapati melanggar Akta Kerja.
Banjir kilat itu meragut tiga nyawa dan menjejaskan sejumlah 12 kampung dengan 15 rumah rosak teruk dan tidak boleh diduduki lagi. ― Bernama