KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan memperkenalkan hukuman alternatif bagi penjenayah sebagai pengganti hukuman mati mandatori, menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Hukuman penjara sepanjang hayat akan digantikan dengan hukuman penjara selama 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Keputusan ini diambil dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu sebagai salah satu dasar baharu yang dipersetujui. Hukuman penjara sepanjang hayat akan dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang, sementara hukuman mati akan dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak mengakibatkan kematian, melainkan untuk tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Baca lagi | Pemain asal Brazil wakil Harimau Malaya Dinilai Tinggi dalam Penampilan Pertama
Menteri tersebut menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai status terkini kajian semula cadangan melaksanakan hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan. Katanya, Jemaah Menteri telah bersepakat dengan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu, yang membolehkan penyemakan semula oleh Mahkamah Persekutuan hukuman mati atau hukuman penjara sepanjang hayat yang telah dikenakan.
RUU baharu mempengaruhi banduan sedia ada
Menurut beliau, 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat akan turut terkesan dengan RUU baharu ini. Selain itu, Azalina berkata, RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijadualkan akan dibaca pada minggu depan, hari Isnin di Dewan Rakyat.
Baca lagi | Rohana Sudah Pulangkan Aset 1MDB
Beliau menambah bahawa pindaan perundangan yang melibatkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini jelas merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia. Perubahan ini diharapkan dapat membuat sistem keadilan menjadi lebih holistik dan inklusif demi manfaat bersama selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya.