Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mahu kerajaan negeri menyediakan pelan jangka panjang yang komprehensif merangkumi aspek jaminan bekalan makanan khususnya untuk rakyat di negeri itu.
Sultan Sharafuddin bertitah keutamaan diberikan kepada memastikan keseimbangan antara pengeluaran makanan industri dan pengeluaran produk pertanian serta oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Saya tidak mahu sebarang gangguan kepada sumber bekalan makanan rakyat di Selangor sedangkan negeri ini antara pengeluar utama pelbagai hasil pertanian dan ternakan.
“Paling penting produk makanan yang dihasilkan mestilah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya dalam catatan di akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Sultan Sharafuddin turut menyeru Institut Penyelidikan
dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan penyelidikan ke arah pengeluaran produk pertanian dan ternakan yang lebih berkualiti serta memastikan bekalan mencukupi.
Beliau turut menyatakan minat terhadap pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini dan juga yang diusahakan secara kecil-kecilan tetapi berpotensi pemasaran yang tinggi serta menggesa mereka mempergiatkan aktiviti bercucuk tanam supaya mereka dapat menikmati faedah bersama keluarga.
Semalam, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. — Bernama