The Malaysia Post

STPM 2022 Merekodkan CGPA Kebangsaan Tertinggi

SELAYANG: Purata kumulatif gred mata pelajaran kebangsaan (CGPA) bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 adalah 2.82, yang tertinggi dalam sejarah peperiksaan tersebut. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, menyatakan ini merupakan peningkatan berbanding tahun 2021 di mana CGPA adalah 2.79.

CGPA Kebangsaan Tertinggi

“CGPA Kebangsaan tahun ini adalah yang tertinggi sejak STPM dimulakan,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan di pejabat majlis pada hari Khamis (13 Julai).
Beliau menyatakan bahawa sebanyak 1,184 calon (2.84%) mencapai CGPA sempurna 4.00, juga peningkatan daripada tahun lalu di mana jumlah calon yang mencapai keputusan tersebut adalah 874 calon.

Sejumlah 41,701 calon mengambil peperiksaan bagi ketiga-tiga semester dalam STPM 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 99.98 peratus atau 41 694 calon layak dianugerahkan sijil STPM 2022 manakala hanya 0.02 peratus atau 7 orang calon yang tidak layak mendapat sijil tersebut.

Baca lagi | Keputusan SPM 2022: Gred Purata Kebangsaan (GPN) SPM Meningkat Berbanding 2021

Anugerah Pelajar Terbaik STPM

Sementara itu, beliau berkata seramai 17 pelajar terbaik mengikut kategori yang dipilih oleh MPM untuk diberikan anugerah berbentuk wang tunai bernilai RM1000, plak serta sijil dan yang akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Fadhlina Sidek dalam satu majlis.

Kategori berkenaan ialah STPM terbaik keseluruhan (11 orang), terbaik kategori B40 (seorang), dan terbaik kategori Orang Asli (seorang). Manakala empat pelajar terbaik terpilih bagi setiap kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu buta, rabun, autistik dan spastik.

Baca lagi | Peperiksaan UPSR, PT3 2020 dibatalkan, SPM dan STPM ditunda ke tarikh baru

Sukatan Pelajaran STPM Baru 2026

Selain itu, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan turut memaklumkan satu sukatan pelajaran baru bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijangka dikuatkuasakan pada tahun 2026. MPM sedang dalam peringkat akhir penyempurnaan sukatan pelajaran STPM semasa.

Beliau menjelaskan bahawa pengkajian semula sukatan pelajaran melibatkan relevansinya dari segi matlamat dan objektif, topik-topik yang dibincangkan, masa yang diperuntukkan untuk setiap topik, dan skim penilaian untuk setiap semester.

“Sukatan pelajaran yang telah dipermudahkan dijangka akan dilaksanakan mulai Peperiksaan Semester 1 STPM 2026,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan pada hari ini di pejabat majlis.

Read Previous

Elon Musk Lancarkan Syarikat AI, xAI, Saingi OpenAI

Read Next

Atlet Karate Malaysia Terkesan Dengan Perubahan Format di Sukan Asia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.