Siri Galaxy S20 merupakan satu siri telefon pintar yang baru dikeluarkan oleh pihak Samsung dengan rekaan yang memfokuskan kepada kegunaan kameranya. Terdapat tiga model kesemuanya dibawah siri Galaxy S20 ini yang dikenali sebagai Galaxy S20, Galaxy S20+, dan juga Galaxy S20 Ultra.
Bercakap mengenai model Galaxy S20 terlebih dahulu, dimana telefon pintar ini dilengkapi dengan sensor kamera utama gabungan 12MP (utama) + 64MP (telefoto) + 12MP (ultra-lebar). Manakala, bagi model Galaxy S20+ pula, ia dilengkapi dengan sensor 12MP(utama) + 64MP (telefoto) + 12MP (ultra-lebar) +0.3MP (ToF). Kedua-dua model ini dilengkapi dengan sokongan kamera swafoto 10MP.
Sementara bagi Galaxy S20 Ultra pula membawakan spesifikasi kamera yang lebih besar iaitu gabungan sensor 108MP + 12MP + 48 MP + 3D ToF. Manakala bagi rakaman swafoto, ia dilengkapi dengan sensor kamera 40MP. Ini menjadikan model Galaxy S20 Ultra ini sebagai model pertama yang dilengkapi dengan saiz kamera swafoto terbesar yang pernah digunakan dalam siri Galaxy S.
Kebiasaanya kita akan mengalami sedikit kesukaran apabila ingin membuat penggambaran malam di lokasi yang gelap atau kurang pencahayaan. Namun situasi ini tidak terjadi pada siri Galaxy S20 kerana kameranya dilengkapi dengan fungsi Bright Night. Melalui fungsi ini, ia membolehkan anda untuk merakam penggambaran malam yang cantik dan jelas seperti diambil dengan menggunakan kamera professional.
Bright Night ini adalah nama untuk mod malam pada peranti Samsung dan merupakan ciri tambahan pada fungsi Scene Optimizer. Ciri Bright Night ini berfungsi apabila Scene Optimizer mengesan penggambaran dilakukan di kawasan gelap dan apabila anda perlu melaraskan kecerahan pada kamera untuk mengambil rakaman gambar yang lebih jelas dan cerah.
Menurut Samsung sendiri, fungsi ini juga membolehkan anda untuk mendapatkan rakaman dengan lebih jelas dan pencahayaan dua kali ganda lebih cerah berbanding rakaman yang diambil menggunakan telefon pintar biasa. Dahulu, rakaman gambar yang diambil di kawasan gelap akan terdapat kesan hingar ataupun terlalu gelap sehingga tidak dapat merakam apa-apa. Namun melalui fungsi Bright Night yang terdapat pada siri Galaxy S20 ini, situasi ini dikatakan tidak akan dialami oleh pengguna mereka.
Samsung turut telah menyertakan resolusi HDR untuk rakaman video yang mana ia sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk membuat rakaman malam dengan lebih cantik, jelas dan terperinci tanpa mengira jumlah pencahayaan pada sesuatu lokasi.
Selain itu, sensor kamera yang cukup besar pada siri Galaxy S20 ini juga dapat membantu anda untuk mendapatkan rakaman gambar dengan pewarnaan yang cukup cantik dan kadar hingar yang kurang. Ini sekaligus menjadikan hasil rakaman lebih jelas dan cantik walaupun rakaman diambil di lokasi yang kurang pencahayaan. Malah ia juga membantu dalam proses untuk merakam video atau gambar yang stabil walaupun terdapat gegaran semasa rakaman diambil.
Siri telefon pintar Galaxy S20 ternyata hadir dengan fungsi kamera yang mengagumkan. Bagi anda yang sedang mencari sebuah telefon pintar dengan kebolehan kamera seperti kamera professional, siri Galaxy S20 adalah antara pilihan yang baik. Jadi, sekiranya anda berminat, telefon pintar ini membawakan tanda harga bermula RM3,599 dan boleh mula untuk membuat pra-tempah melalui laman rasmi Samsung sehingga 1 Mac 2020.