The Malaysia Post

Singapura usaha sediakan tempat tinggal setelah rakyat Malaysia dilarang ulang-alik ke Singapura

Rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, dilarang berbuat demikian mulai esok sehingga 31 Mac ini. Ini disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berdasarkan persoalan yang dibangkitkan berkenaan warga Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura.

Ia selepas pengumuman oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menyampaikan perutusan khas berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, yang antara lain turut melarang warga Malaysia ke luar negara.

Larangan sama turut melibatkan mereka yang berulang-alik ke Thailand setiap hari. Warga Malaysia dilarang ke luar negara manakala mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.

Atas perkembangan itu, kerajaan Singapura sedang berusaha mencari jalan untuk menempatkan warga Malaysia yang bekerja di sana, yang sebelum ini berulang-alik setiap hari ke republik itu. Kira-kira 300,000 warga Malaysia yang berulang-alik setiap hari dari Johor ke Singapura atas sebab kerja.

Kementerian Sumber Manusia Singapura menasihatkan syarikat untuk menggelakkan pekerja yang terkesan dengan perintah itu untuk tinggal dengan saudara, kawan atau rakan sekerja sebagai langkah sementara.

“Bagi pekerja yang tidak boleh tinggal dengan saudara, kawan atau rakan sekerja, kerajaan (Singapura) telah bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk menyediakan pilihan penginapan jangka pendek. Kerajaan juga akan bekerjasama dengan penyedia dormitori/hotel untuk menyediakan penginapan kos rendah.

“Objektif kami untuk meminimumkan apa-apa kesan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada warga,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Dalam pengumuman semalam, Muhyiddin menyenaraikan langkah-langkah untuk mengehadkan pergerakan awam, seperti melarang perhimpunan massa dan penutupan sementara premis perniagaan melainkan pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Premis kerajaan dan swasta juga dijangka ditutup bermula esok, kecuali perkhidmatan penting seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Malaysia catatkan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dikaitkan dengan acara “tabligh”

Read Next

“Social distancing” sebagai langkah pencegahan wabak

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.