Rexy Mainaky Tidak Tergesa-gesa Menetapkan Sasaran Tinggi
Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata beliau tidak tergesa-gesa meletakkan sasaran tinggi membabitkan beregu lelaki dan wanita negara pada Kejohanan Jelajah Akhir Dunia BWF.
Sebelum ini, Rexy berkata dia menjangkakan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah melepasi peringkat kumpulan bagaimanapun dia akan membuat penilaian semula sasaran selepas undian pemain diketahui pada 5 Disember ini.
“Sudah tentu semua yang layak perlu disasarkan untuk menjadi juara dalam Word Tour. Tetapi pertama, mereka perlu melepasi peringkat kumpulan. Jika kita meletakkan sasaran untuk menjadi juara sebelum peringkat kumpulan, ia akan memberi tekanan kepada pemain.
“Cabutan belum keluar, tetapi berdasarkan ranking Word Tour, tidak mustahil untuk mereka bertemu pasangan yang lebih kuat. Jadi kita perlu lihat dahulu sebelum meletakkan sasaran jelas yang boleh dicapai,” kata Rexy selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.
Persediaan Pemain
Menurut Rexy, persiapan membabitkan pemain menjelang kejohanan berjalan lancar dengan lebih fokus kepada aspek psikologi bagi membina kekuatan mental mereka.
Rexy berkata, setakat ini ketahanan mental berpasangan lelaki dan wanita negara patut dipuji, namun ia boleh dipertingkatkan lagi.
Baca Lagi | PM Anwar akan Umumkan Kabinet Hari Ini, Mesyuarat Khas ‘Peraturan Baharu’ pada Isnin
Baca Lagi | Hujan Berterusan Dijangka Di Beberapa Kawasan Semenanjung Malaysia sehingga Esok
Selain gandingan Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah, Malaysia juga akan diwakili empat lagi pasangan pada Jelajah Dunia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 7 hingga 11 Disember ini.
Mereka ialah pasangan lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, pasangan wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan dua beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Strategi Pasukan
Dalam perkembangan lain, Rexy berkata dia sedang merombak pasangan beregu campuran untuk beberapa kejohanan pada masa akan datang.
“Ia sudah pun dijalankan dan pasangan muktamad ialah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, Choong Hon Jian-Yap Ling, Loo Bing Kun-Yap Cheng Wen dan Yap Roy King-Valeree Siow.
“Kami telah menggandingkan mereka beberapa kali dan kami rasa mereka perlu dikekalkan,” katanya.
Rexy yang terkenal bereksperimen dengan kombinasi baharu pada masa lalu membabitkan pemain beregu, akan melakukan perkara sama dan merombak beregu lelaki pada Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh dari 13 Disember hingga 18 Disember.