ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Sanusi mengulas mengenai Acara Rumah Terbuka Malaysia MADANI yang bakal diadakan di enam negeri berdepan PRN atau Pilihan Raya Negeri sebagai program kempen dan tidak wajar untuk diadakan.
Kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, program itu disifatkan sebagai pembaziran kerana melibatkan kos yang tinggi, sedangkan pada ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini, langkah-langkah penjimatan harus disegerakan dalam semua peringkat bagi semua pihak.
Rumah Terbuka Perlu Diadakan di Satu Tempat Sahaja
Malah, tegasnya lagi, anjuran rumah terbuka tersebut sepatutnya diadakan hanya di satu tempat sahaja iaitu di Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri ataupun sekitar Putrajaya sama seperti yang dilakukan oleh Mantan Perdana Menteri sebelum ini.
Menteri Besar Kedah juga menganggap apa yang sedang dilakukan sekarang ini lebih kepada program untuk kempen pilihan raya dan bukannya rumah terbuka Aidilfitri.
Tambahnya lagi kepada pengamal media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Sri Mentaloon di sini, beliau tidak menghalang rumah terbuka tetapi sebagai kerajaan yang tegaskan langkah jimat cermat, mereka sepatutnya amalkan apa yang mereka utarakan.
Akan Hadir Sebagai Orang Biasa Jika Tidak Dijemput
Malah, tegas beliau pembabitan beberapa kementerian kerajaan dalam penganjuran program terbabit juga tidak sepatutnya berlaku dan walaupun pihak kerajaan menafikannya sebagai politik, namun Sanusi menegaskan, orang ramai boleh menilai sendiri tindakan menganjurkan majlis berkenaan di negeri PRN.
Sama ada akan dijemput atau tidak sebagai Menteri Besar Kedah, beliau akan hadir sebagai orang biasa jika tidak dijemput.
Dalam kenyataan yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, beliau menjemput orang ramai untuk menghadiri siri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri yang bakal diadakan di beberapa lokasi seluruh negara.
Baca lagi | Bekas Setiausaha Politik Didakwa Terima Rasuah Lebih RM400,000
Rumah Terbuka di 6 Negeri
Kedah akan mengadakan Acara Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di Hotel Raia, Alor Setar, antara jam 10 pagi hingga 2 petang pada 29 April ini.
Rumah terbuka di Pulau Pinang, pula diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, bermula dari jam 11 pagi hingga 2 petang iaitu pada 6 Mei depan.
Negeri Sembilan, rumah terbuka akan berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, iaitu mulai jam 11 pagi sehingga 2 petang pada tarikh 7 Mei.
Di Kelantan pula, program tersebut akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu, Kelantan bermula jam 7 hingga 10.30 malam, iaitu pada tarikh 12 Mei.
Di Terengganu, rumah terbuka diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dekat Kuala Terengganu pada pukul 7 hingga 10.30 malam, 13 Mei ini dan lokasi yang terakhir acara itu akan diadakan adalah di Kawasan Komersial Fasa III, Taman Sri Gombak, Selangor mulai jam 8 hingga 11 malam, iaitu pada 14 Mei.