Belanjawan Negara 2023
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat ini akan mendapat sokongan Ahli Parlimen.
“Saya percaya Bajet akan diterima baik kerana bajet ini untuk rakyat..jika Pembangkang tidak bersetuju dengan Bajet itu bermakna pembangkang tidak bersetuju dengan apa yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.
“Kalau Bajet tak lulus, dari segi emolumen, gaji kakitangan kerajaan pun tak boleh bayar. Jadi Bajet mesti diluluskan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pra majlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 di sini malam ini.
Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia menerima pandangan daripada Pembangkang berhubung Bajet 2023.
“Namun, kita juga mengharapkan komen negatif dan sebagainya daripada Pembangkang seperti biasa.
“Setiap kali Belanjawan dibentangkan, mereka akan menyuarakan pandangan mereka, sama ada positif atau negatif, dan kami menerimanya. Lazimnya, pandangan itu akan diambil kira oleh kerajaan,” katanya.
Perkara yang Dibincangkan
Ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan pembubaran Parlimen, Ismail Sabri berkata hanya perkara berkaitan Parlimen sahaja yang dibincangkan.
Ismail Sabri tiba pada 8.30 malam untuk mempengerusikan mesyuarat pra majlis selama setengah jam itu yang turut dihadiri Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok) dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol).
Mesyuarat pra majlis itu diadakan bagi menyediakan persiapan persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung mulai esok hingga 29 November ini.
Baca lagi | Rusia memveto resolusi PBB mengenai penggabungan yang diisytiharkan, China berkecuali
Baca lagi | Apa sebenarnya yang berlaku dalam penipuan penculikan Malaysia baru-baru ini?