The Malaysia Post

Pertaruhan Piala Dunia Qatar: 46 Ejen Bookie Ditangkap di Johor

46 Lelaki Ditahan Polis Johor

Polis Johor menahan 46 lelaki tempatan, dipercayai ejen bookie perjudian bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 dengan had kredit pertaruhan RM6.317 juta menerusi Op Soga IX di daerah itu setakat semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua lelaki berusia antara 18 dan 72 tahun itu ditahan dalam 45 serbuan yang dijalankan sejak 21 Nov lalu.

Beliau berkata wang tunai berjumlah RM34,303, S$500 dan 48 telefon bimbit bersama kad sim serta buku pertaruhan turut dirampas dalam serbuan itu.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut. Kejayaan operasi ini sebahagian besarnya hasil risikan serta aduan dan maklumat yang disalurkan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baca Lagi | Miss Universe Malaysia 2022 Mendapat Inspirasi dari Gunung Kinabalu

Baca Lagi | Lebih 1,000 Video TikTok Pelampau Disekat selepas PRU15

Siasatan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3), Seksyen 6 (1) dan Seksyen 4 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953.

Kamarul Zaman berkata, fokus utama Op Soga IX adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan pertaruhan sempena kejohanan piala dunia dan menangkap individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punters’, selain menyerbu tempat yang dijadikan lokasi perjudian.

Akta Pertaruhan 1953

Beliau berkata pelaksanaan operasi itu juga berdasarkan peruntukan Akta Pertaruhan 1953 dan tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana individu yang menganjurkan pertaruhan judi seumpama itu.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perjudian ke balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor melalui talian 07-221 2999 atau 07-225 4677.

Read Previous

Lebih 1,000 Video TikTok Pelampau Disekat selepas PRU15

Read Next

Rundingan mengenai Perjanjian Pandemik Global akan Dimulakan pada Februari

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.