The Malaysia Post

Menteri pengangkutan: Harga purata tiket penerbangan ke Sarawak RM360, boleh dikurangkan

Datuk Seri Wee Ka Siong

Credits: soyacincau

Harga purata tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak antara 11 dan 31 Disember 2021 ialah RM360, berdasarkan pemantauan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ini lebih rendah daripada harga purata yang dicatatkan pada Disember 2019.

“Pemantauan yang dilakukan oleh Mavcom pada 11 Disember hingga 31 Disember bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching mendapati puratanya RM360, yang baru kita amati setakat jam 2 petang hari ini berdasarkan jualan tiket.

“Ini tidak termasuk mereka yang membeli (tiket) ‘last minute’, kita belum tahu (data mengenainya). Dan jika kekerapan (penerbangan) boleh ditambah seperti yang dikehendaki, maka kita boleh ratakan keluk kenaikan harga bagi membantu mereka yang ingin ke Sarawak atau pulang ke Semenanjung,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Anggaran 2022) di peringkat jawatankuasa kementerian.

Wee berkata isu seperti sekatan kekerapan penerbangan ke Sarawak telah menyebabkan kenaikan mendadak tambang ke negeri itu, dan ia boleh dikurangkan jika lebih banyak penerbangan dibenarkan masuk ke negeri itu.

“Jadi kami telah menulis surat kepada kerajaan negeri (Sarawak), (khususnya) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) tetapi kami menghormati keputusan Sarawak kerana bilangan (penerbangan) yang dibenarkan masuk ke Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Imigresen di Sarawak.

“Sebab itu kami meminta 520 penerbangan (seminggu) untuk menyelesaikan masalah ini, kerana kami mendapati dari segi sekatan kekerapan, ini menyebabkan tambang naik,” katanya.

Beberapa ahli parlimen telah membangkitkan isu kenaikan tiket penerbangan dari Semenanjung ke Tanah Enggang hari ini, antaranya ialah Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dan Sim Tze Tzin (PH -Bayan Baru).

Sesi perbahasan hari ini dihadiri 22 ahli parlimen daripada kerajaan, pembangkang dan blok bebas.

Baca Lagi | Menteri pengangkutan: Harga purata tiket penerbangan ke Sarawak RM360, boleh dikurangkan

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,526,793,800 untuk Kementerian Pengangkutan di bawah Bajet 2022, dengan lebih banyak undian menyokong.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM520,275,300 untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tahun depan.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok.

Read Previous

KDN terima laporan kartel imigresen melibatkan kakitangan jabatan

Read Next

Kementerian Dalam Negeri meluluskan lebih 2,000 kamera badan untuk polis

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sertai surat berita kami
Langgani sekarang untuk mendapatkan artikel kami yang terkini, baru, hangat, dan semasa yang dihantar terus ke emel anda
170000 subscribers are here