Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah memberikan mandat penuh kepada pemimpin parti itu di Sabah untuk mengkaji semula kedudukan mereka dalam kerajaan negeri susulan kes skandal rasuah perlombongan yang melibatkan beberapa pemimpin.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memberitahu keputusan mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri Sabah diambil selepas CEC bermesyuarat di Kuala Lumpur.
Ujar beliau, dalam mesyuarat yang diadakan, Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, telah memberikan penerangan terperinci mengenai isu dakwaan skandal rasuah perlombongan yang yang kini sedang menghantui negeri terbabit.
Isu Rasuah Perlombongan di Sabah: Keputusan DAP untuk Kekal atau Tidak dalam Kerajaan Negeri Sabah.
Isu ini mula menjadi perhatian berikutan tular beberapa klip rakaman video yang didakwa menunjukkan kegiatan rasuah tersebut berlaku di Sabah dan ia melibatkan beberapa ahli politik Sabah.
Katanya, CEC tegas dengan pendirian DAP bahawa parti itu memang tidak akan sama sekali berkompromi dengan segala amalan rasuah yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.
Justeru itu, DAP telah pun menyeru pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera melakukan mengenai kes rasuah perlombongan di Sabah dengan tegas.
Anthony Loke turut memberitahu, sehingga ke hari ini, pihak CEC telah memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula mengenai kedudukan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Baca lagi | Skandal Rasuah Perlombongan Sabah: Plot Umno untuk Singkirkan Hajiji Noor?
Tetap Pertahankan Prinsip Tiada Rasuah dalam DAP
Sejak bulan lalu kerajaan Sabah yang dipimpin oleh ketua menteri Hajiji Noor telah terpalit dengan dakwaan skandal berhubung rasuah lesen mencari gali bahan mineral yang kini menjadi titik hitam dalam pakatan yang dibina.
Hal ini tersebar setelah seorang pembocor maklumat menerbitkan video yang membabitkan tujuh Adun – termasuk menteri Sabah – yang didakwanya telah menerima rasuah untuk memudahkan dia mendapatkan lesen perlombongan di Sabah.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd, Jontih Enggihon, turut menuduh Hajiji menyalahgunakan kuasanya sebagai pengerusi syarikat tersebut dengan kepentingan peribadi menyebabkan berlaku krisis pentadbiran negeri tersebut.
Manakala, pada isnin yang lalu, Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong, juga mengeluarkan kenyataan yang menegaskan pendirian parti DAP untuk tidak berkompromi terhadap amalan rasuah tidak kira ia membabitkan mana-mana pihak.
Baca lagi | Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor Jawab Isu Rasuah Lesen Perlombongan
Janji Hajiji Noor untuk Pastikan Tiada Lesen Perlombongan Dikeluarkan Dihormati DAP
Walau bagaimanapun, pada masa sama DAP Sabah turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji kerana janji yang dibuat beliau untuk memastikan tiada lesen perlombongan dikeluarkan di negeri itu.
Sehingga kini, terdapat empat wakil DAP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dengan Phoong yang merupakan Adun Luyang turut berada dalam kabinet negeri itu.
Manakala, PKR pula yang memenangi dua kerusi manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mempunyai satu wakil.
Melalui PRU15, gabungan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menguasai 56 daripada 73 kerusi yang ada dalam DUN negeri Sabah. Ini menjadikan GRS memiliki lebih kelebihan 16 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dalam gabungan lantas memegang puncak pimpinan.
Hubungan DAP dan Kerajaan Negeri Sabah Masih Baik
Ketika dihubungi, sumber yang dipercayai daripada DAP Sabah memberitahu, pihaknya akan berunding dengan parti lain dalam PH terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada akan kekal atau tidak dalam kerajaan negeri.
Ujarnya, DAP akan mempertahankan prinsip mereka dan akan sentiasa mendengar suara rakyat kerana itu yang paling penting. Manakala, seorang lagi pemimpin DAP dari Semenanjung Malaysia pula berkata setakat ini masih tiada sebarang keputusan dibuat untuk parti itu sama ada kekal atau berundur daripada kerajaan Sabah dan memberitahu hubungan kedua-dua pihak masih baik.