PETALING JAYA, 7 Disember 2024 – Dakwaan skandal perlombongan yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah kini mencetuskan kontroversi, dengan sesetengah pihak melihatnya sebagai sebahagian daripada plot yang diketuai Umno Sabah untuk menggugat kedudukan Ketua Menteri, Hajiji Noor, dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Skandal Rasuah Perlombongan Sabah: Plot UMNO atau Kepentingan Awam?
Siri video yang tular menunjukkan perbincangan berkaitan dakwaan rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah. Menurut Ketua Pemuda Umno Sabah, Sufian Abd Karim, Hajiji mesti memikul tanggungjawab penuh atas isu yang sedang melanda negeri itu. Bendahari Pemuda Umno, Naim Kurniawan Moktar, juga dilihat turut menggesa Hajiji berundur, dan mencadangkan Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan untuk mengetuai kerajaan interim.
Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, yang dilihat mengintai jawatan Ketua Menteri, menafikan dakwaan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha menyingkirkan Hajiji. Menurutnya, desakan agar Hajiji berundur adalah demi memastikan siasatan telus dapat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Baca lagi | Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor Jawab Isu Rasuah Lesen Perlombongan
Reaksi Hajiji Noor dan Penyokongnya Susulan Viral Video Skandal Rasuah Perlombongan Sabah
Hajiji Noor menegaskan bahawa pentadbiran pimpinannya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen berkaitan perlombongan seperti yang didakwa. Beliau turut mendakwa klip video yang tular tersebut telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasi kerajaan negeri Sabah.
Sayap pemuda GRS turut mempertahankan Hajiji, menegaskan bahawa tiada bukti yang mengaitkan presiden mereka dalam skandal itu. Mereka juga mengingatkan bahawa Bung sendiri pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri walaupun berhadapan kes rasuah.
Dakwaan Rasuah Terhadap Bung Moktar
Bung Moktar juga sedang berdepan dua pertuduhan menerima rasuah yang bernilai lebih RM2.2 juta pada 2019 bagi meluluskan pelaburan Felcra dalam amanah saham Public Mutual. Namun, sehingga kini beliau tetap dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada tahun berikutnya walaupun masih terpalit isu terbabit.
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia menggantikan Hajiji, Bung berkata beliau sedia mempertimbangkan perkara tersebut tetapi menegaskan keputusan muktamad adalah di tangan kerajaan semasa.
Baca lagi | ADUN Rasuah: PKR Sabah Akan Buat Laporan Polis Mengenai Dakwaan Palsu yang Mengaitkan PM Anwar Ibrahim
Cabaran Saman dan Siasatan Skandal Rasuah Perlombongan Sabah
Umno Sabah turut mencabar Hajiji dan Adun terlibat untuk menyaman pemberi maklumat yang menyebarkan video tersebut. Bung mencadangkan agar pihak berkuasa memulakan siasatan segera untuk memastikan kebenaran dakwaan tersebut.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, tiada tindakan undang-undang atau siasatan rasmi diumumkan. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan kepercayaan terhadap institusi kerajaan negeri.
Masa Depan Politik Sabah
Dengan situasi politik yang semakin tegang, Sabah kini menghadapi ketidakpastian dalam pentadbiran. Hajiji Noor terus mempertahankan kedudukannya, sementara tekanan dari pelbagai pihak semakin meningkat. Adakah kerajaan GRS mampu bertahan, atau adakah ini menandakan permulaan perubahan besar dalam landskap politik negeri itu?