The Malaysia Post

Kajian dapati COVID-19 mampu bermutasi, kini muncul 3 subjenis COVID-19 di seluruh dunia

Jumlah mereka yang dijangkiti oleh wabak COVID-19 di seluruh dunia telah pun melebihi angka 2 juta orang. Di Malaysia, statistik kes dijangkiti COVID-19 sudah melebihi 5,000 orang dengan 84 kes kematian yang dilaporkan setakat ini.

Wabak ini sangat cepat merebak dan pakar saintis beranggapan kemungkinan bahawa koronavirus ini boleh mengalami proses mutasi. Kini, para pakar sedang mengelaskan strain virus baharu itu mengikut jenisnya, di mana boleh memberikan impak kepada tahap kesihatan individu.

Pengkaji dari United Kingdom (UK) dan Jerman telah membuat ilustrasi berkenaan dengan corak evolusi COVID-19 yang menjangkiti manusia. Ini berdasarkan 160 maklumat genom virus yang dikutip di seluruh dunia. Oleh sebab proses mutasi COVID-19 berlaku pada kadar yang cepat, bagi melihat semua cabangan mutasi yang berlaku, saintis menggunakan satu algoritma matematik khusus. Berdasarkan kepada algoritma tersebut, virus korona baharu boleh dibahagikan kepada 3 subjenis; A, B dan C.

Menurut Dr Peter Forster, peneraju kepada kajian tersebut, subjenis A merupakan maklumat genetik virus yang asal. Subjenis A boleh ditemui di Wuhan namun ialah bukanlah COVID-19 yang mendominasi pesakit di kawasan tersebut. Malah, majoriti mereka yang disahkan positif COVID-19 di Wuhan adalah didapati dengan subjenis B, iaitu yang dikatakan boleh ditemui di seluruh negara di Asia Timur seperti China, Korea Selatan, dan Jepun.

Berbanding dengan subjenis A dan B, subjenis C pula merupakan mutasi COVID-19 yang menjangkiti pesakit di kebanyakan negara di Eropah seperti Perancis, Itali dan Sweden. Ianya tidak terdapat di China, namun begitu pernah dikesan di Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan. Analisis yang pernah dibuat di Itali menunjukkan subjenis C berasal dari kluster di Singapura.

Oleh sebab model ini berupaya untuk menunjukkan corak jangkitan dan jenis virus dengan tepat, pengkaji menyarankan kaedah ini diguna pakai untuk meramal lokasi hotspot jangkitan kelak. Menurut Dr Forster lagi, kajian genetik berkenaan dengan asal-usul virus korona boleh membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti kes yang tidak didokumentasikan.

Setakat ini setiap subjenis virus masih mengalami proses mutasi. COVID-19 subjenis B yang hanya terhad kepada orang Asia Timur boleh mengalami mutasi di masa akan datang dan menjangkiti mereka yang berasal dari Eropah. Masih banyak lagi yang belum diketahui mengenai jangkitan COVID-19. Namun, kajian yang bakal dijalankan akan membantu sedikit sebanyak untuk kita lebih memahami dan mencegah penularan COVID-19.

Sebelum ini, satu kajian berkenaan dengan proses mutasi virus baharu ini telah diterbitkan dalam laman jurnal National Science Review, di mana menunjukkan COVID-19 telah bermutasi dan populasinya terbahagi kepada dua jenis.

Hasil daripada kajian itu menunjukkan virus tersebut boleh dikategorikan kepada dua strain iaitu jenis L dan jenis S. COVID-19 jenis L dikatakan mempunyai karakter yang kebih agresif berbanding dengan jenis S.

Walau bagaimanapun, kebanyakan pakar tidak bersetuju dan tidak menyokong kesimpulan yang dibuat oleh kajian tersebut berikutan ia lebih kepada spekulasi dan kadar mutasi yang dianalisis hanya melibatkan segmen kecil pada susunan maklumat genetik virus tersebut.

Kajian mengenai proses mutasi COVID-19 ini penting untuk membantu saintis dan penyelidik untuk lebih memahami dan meramal kawasan hotspot yang seharusnya diberikan perhatian. Dengan itu juga, mungkin kita dapat mengekang COVID-19 dengan pendekatan yang betul berdasarkan analisis yang sedia ada.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

WHO jangkakan kes koronavirus di Afrika akan mencapai 10 juta dalam tempoh 6 bulan

Read Next

Zoo di Jerman pertimbang untuk korbankan haiwan, alami krisis kewangan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.