Low Taek Jho, atau lebih dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Jho Low, kembali menjadi perhatian dunia apabila laporan terbaharu mendedahkan beliau kini menjalani kehidupan mewah di Shanghai, China, menggunakan pasport palsu Australia dengan identiti palsu berunsur Greek, Constantinos Achilles Veis.
Pendedahan eksklusif yang dibuat oleh dua wartawan penyiasat ternama, Bradley Hope dan Tom Wright, penulis buku kontroversi ‘Billion Dollar Whale’. Untuk makluman, sebelum ini mereka juga turut membongkar penglibatan Jho Low dalam skandal kewangan terbesar di dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jho Low Hidup Mewah, Tinggal di Kediaman Elit ‘Green Hills’, Shanghai China
Menurut siaran langsung mereka di saluran YouTube Brazen, Hope dan Wright mendedahkan bahawa Jho Low dipercayai tinggal di banglo eksklusif di kawasan kejiranan elit Green Hills, yang dikenali sebagai antara lokasi kediaman paling premium dan dikawal ketat di Shanghai.
Penyiasatan mereka berdasarkan dokumen terkini serta maklumat daripada beberapa sumber dalaman termasuk bekas kenalan perniagaan dan individu yang pernah berurusan dengan Low.
Guna Nama Greek untuk Elak Pengecaman
Lebih mengejutkan, Jho Low dilaporkan menggunakan pasport palsu Australia dengan nama Greek bagi mengaburi pihak berkuasa antarabangsa dan mengelak daripada dikenali. Nama yang digunakan, Constantinos Achilles Veis, disahkan digunakan dalam pelbagai dokumen dan urusan seharian di China.
Kewujudan identiti palsu ini memperlihatkan tahap kerumitan operasi penyamaran yang digerakkan oleh Low untuk terus bebas daripada cengkaman undang-undang antarabangsa, termasuk Notis Merah Interpol yang masih berkuat kuasa.
Baca juga:
- Mahkamah Kuwait Jatuhkan Hukuman Terhadap Jho Low
- Rancangan 1MDB Jho Low melibatkan Najib, kata bekas CEO
Jho Low Didakwa Berperanan Sebagai Strategis untuk Kerajaan China
Bukan itu sahaja, Hope dan Wright turut mendakwa bahawa Jho Low kini memegang peranan penting sebagai penasihat strategik tidak rasmi kepada entiti tertentu dalam kerajaan China. Dalam pendedahan itu, Hope dan Wright tersebut memberitahu, tugas Jho Low termasuk membantu syarikat-syarikat China yang dikenakan sekatan antarabangsa, berupaya mencari laluan perdagangan dan pelaburan alternatif di peringkat global.
Ini sekaligus menimbulkan persoalan besar mengenai keutuhan diplomatik dan kebolehpercayaan sistem undang-undang antarabangsa, terutama apabila individu yang dikehendaki seperti Low diberi ruang untuk terus menjalankan aktiviti ekonomi di luar negara.
Ganjaran Kripto untuk Kesahihan Maklumat Keberadaan Jho Low
Pada Mac lalu, satu inisiatif kreatif oleh sekumpulan wartawan penyiasat dan komuniti mata wang kripto telah dilancarkan bagi menjejaki keberadaan Jho Low. Mereka memperkenalkan token meme coin khas bernama $JHOLOW sebagai bentuk ganjaran kepada individu yang mampu menyalurkan maklumat tepat dan disahkan mengenai lokasi atau aktiviti terkini Jho Low.
Ganjaran ini diagihkan berdasarkan nilai dan kesahihan maklumat, dan kesemua data akan ditapis oleh moderator bebas yang bertanggungjawab menilai ketulenan sumber maklumat tersebut.
Usaha ini bukan sekadar tindakan populariti, malah dilihat sebagai eksperimen baru dalam dunia “crypto-intel reward system”, yang berpotensi menjadi kaedah inovatif dalam penyiasatan moden.