Pengacara terkenal Azwan Ali akhirnya memohon maaf susulan penghinaan yang didakwa dilakukan terhadap usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) serta anaknya, CikB atau Edlynn Zamilleen Muhammad Amin.
Permohonan secara eksklusif itu dilakukan menerusi satu sidang media yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya, pada petang Selasa.
Dalam sidang media berkenaan, Azwan secara terbuka menunaikan empat tuntutan yang diminta oleh DSV.
Tuntutan itu antara lain meminta Azwan supaya melakukan permohonan terbuka, menarik balik semua kandungan berkaitan DSV dan mengakui semua yang dilakukan beliau adalah fitnah.
Tuntutan terakhir adalah akur janji Azwan Ali untuk berhenti bercakap apa jua mengenai isu berkenaan.
Melalui permohonan maaf itu, Azwan Ali berkata ini bukan soal kalah menang. Permohonan maaf ini dilakukan setelah mengkaji perkara ini bersama peguam.
“Sekali lagi saya ulangi saya mohon maaf secara terbuka kepada pihak yang terlibat sebagaimana dituntut harus dibuat dalam tempoh 48 jam.
“Video yang dimuat naik tidak menyebut nama sesiapa, tapi saya hormati pendirian DSV yang kata dia tersentap dan tersinggung. Saya kira isu ini sudah selesai, terpulang pada dunia nak melihat kes ini.
“Jika dia kata status saya tulis itu berbaur fitnah dan boleh menjejaskan bisnes. Saya terima dan tarik balik.
“Permohonan maaf ini menyeluruh dan kita tidak akan ulangi apa-apa sahaja isu yang berkaitan dengan kes ini,” jelas Azwan.
Terdahulu, menerusi satu sidang media khas yang dilakukan oleh DSV, DSV memberikan tempoh 48 jam untuk Azwan Ali membuat permohonan maaf selepas menyebarkan kata-kata kebencian serta berbaur fitnah terhadap diri serta anak-anaknya.