The Malaysia Post

Faiz Subri bertekad kembali bersinar dalam karier

Penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dari Malaysia melambai tangan selepas merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016 dan mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima anugerah ini di Zurich Switzerland. 10 JANUARI 2017

Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2017, Faiz Subri menganggap jaringan yang dilakukannya bagi membantu pasukan NLFC-Mahsa ke pusingan pertama Piala FA 2020 sebagai satu titik permulaan positif membina kembali kariernya.

Kelab yang berstatus universiti itu menewaskan Kerteh FC 2-0 dalam aksi kelayakan yang berlangsung pada Ahad lalu menerusi jaringan Khairul Afandi Azaimi dan Faiz untuk mereka layak ke pusingan pertama.

Jelas bekas pemain Pulau Pinang ini, pada awalnya dia agak bergelut untuk mencari kembali rentak permainan selepas satu musim tidak beraksi namun penantiannya beraksi apabila berjaya meledak gol pada minit-80 perlawanan.

Apa yang pasti, pemain berusia 32 tahun itu bertekad mahu membina kembali kariernya bersama-sama NLFC-Mahsa dan tidak kisah untuk bermula daripada bawah dalam saingan Liga M3.

“Ini memang permulaan positif untuk saya selepas menanti selama setahun untuk beraksi balik dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada ini untuk buat terbaik kepada pasukan.

“Ikutkan hati, memang rindu sangat nak turun padang dan bila dapat menjaringkan gol pada perlawanan pertama itu memang saya berasa sangat teruja dan ini akan jadi satu motivasi terbaik untuk saya perbaiki prestasi.

“Apa yang penting, saya tidak boleh terlalu selesa kerana ini baru permulaan dan memang saya berazam untuk terus mencuba menjaringkan seberapa banyak gol yang termampu untuk musim ini”, Katanya.

Menjelang pusingan pertama Piala FA Malaysia 2020, NLFC-Mahsa dijadualkan bakal bertemu pasukan dari Liga M3, Harini KS FC dalam misi merebut slot ke pusingan kedua.

Faiz mengakui, semangat rakan sepasukan semakin melonjak untuk melangkah jauh bagi menempah pertemuan dengan pasukan elit lain baik dari CIMB Liga Super atau Liga Premier.

“Pasukan ini masih perlu mencipta persefahaman yang lebih tinggi dan sebenarnya banyak lagi yang perlu diperbaiki selepas dinilai perlawanan pertama tempoh hari.

“Namun, untuk pusingan pertama ini kami tahu peluang adalah 50-50 dan perlu berusaha sebaik mungkin untuk mara ke pusingan kedua kerana misi pasukan ini adalah untuk berentap bersama pasukan lebih hebat daripada Liga Super atau Liga Premier”, jelasnya.

Sebanyak 24 pasukan daripada Liga M3 dan Liga M4 telah pun diundi dalam Majlis Undian Piala FA Malaysia 2020 semalam bagi menghadapi perlawanan pusingan pertama Piala FA hujung minggu ini untuk merebut slot ke pusingan kedua.


Read Previous

Pembantu Jabatan Perikanan Perlis didakwa atas suapan RM4,000

Read Next

Affin Bank tawar kelonggaran pelanggan terjejas akibat COVID-19

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sertai surat berita kami
Dapatkan artikel terkini, Pekerjaan, hadiah percuma, berita hiburan dihantar terus ke peti masuk anda
170000 subscribers are here