The Malaysia Post

COVID-19: Malaysia catat kes tertinggi di Asia Tenggara

Malaysia mencatatkan kes tertinggi di Asia Tenggara bagi kes jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) selepas mencatatkan 428 kes, dengan sembilan kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jumlah terkini itu berikutan terdapat 190 kes positif Covid-19 baharu setakat 12 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu itu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. Sehingga kini, seramai sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh sedang giat diteruskan. Justeru, KKM menyeru peserta perhimpun-an tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

“Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

“Begitu juga untuk kontak rapat kes positif Covid-19, Pesakit Dalam Siasatan (PUI) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke hospital, mereka perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Sebelum ini, seramai 4,942 peserta menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling berjaya dikenal pasti. Daripada jumlah itu seramai 3,069 peserta datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan dengan 137 individu dirujuk ke hospital.

Sementara itu, Sabah mencatatkan kes baharu tertinggi di Malaysia sebanyak 26 kes keseluruhan dikesan di negeri itu.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Bill Gates letak jawatan Lembaga Pengarah Microsoft untuk fokus dengan kerja kebajikan

Read Next

Pertembungan Muhyiddin-Mahathir dalam pemilihan Bersatu

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.