The Malaysia Post

Amerika Syarikat pulangkan RM1.3 bilion dana 1MDB kepada Malaysia, RM2.38 bilion sejumlah dana yang diterima kerajaan setakat ini

Malaysia telah berusaha untuk mendapatkan semula aset-aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat yang bermula sejak Jun 2018. Perkembangan terbaru, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan sejumlah RM1.3 bilion (US$300 mil) lagi dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Malaysia. Dengan pemulangan RM1.3 bilion itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang sudah dipulangkan kepada kerajaan membabitkan nilai RM2.38 bilion.

Ia telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan beliau hari ini, yang memaklumkan bahawa jumlah itu adalah dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Muhyiddin berkata, pada 30 Oktober tahun lalu, Jho Low, iaitu penjenayah dikehendaki Malaysia mencapai penyelesaian dengan DoJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang difailkan oleh jabatan itu terhadap aset yang dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB. Jumlah RM1.3 bilion ini merangkumi beberapa aset yang dilucut hak dan dijual, serta aset berkaitan 1MDB yang disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low.

1MDB diceritakan di dalam siri Netflix bertajuk Dirty Money

Manakala, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan dana itu termasuk hasil penyelesaian bersama Red Granite Pictures, hasil jualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane dan jualan kehakiman kapal layar mewah, Equanimity oleh Mahkamah Admiralti Malaysia.

Menurut Tengku Zafrul, tranche terakhir membabitkan pemulangan dana sebanyak RM1.3 bilion yang terdiri daripada wang atau aset berkaitan 1MDB yang telah diperoleh semula, dilupus hak oleh, atau diserah balik secara sukarela kepada Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Usahan untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan AS, DoJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

Justeru, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan AS terutamanya kedutaannya di Kuala Lumpur, atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah RM1.3 bilion itu.

Pada masa sama, Muhyiddin turut berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Saintis cipta enzim larutkan botol plastik dalam waktu singkat, bantu kitar semula dengan lebih cepat

Read Next

Penjarakan sosial mungkin akan berlanjutan sehingga 2022, menurut pakar saintis Harvard

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.