Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) yang akan berlangsung esok menjadi penentu utama sejauh mana rakyat menerima Perdana Menteri, Lawrence Wong, sebagai peneraju baharu Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan kerajaan.
Dengan menampilkan ramai calon baharu serta mempergiatkan pendekatan mesra anak muda, PAP di bawah Wong kini memasuki fasa transformasi – baik dari segi kepimpinan mahupun hala tuju politik.
Menurut penganalisis keselamatan dan hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, pilihan raya kali ini adalah ukuran sebenar terhadap kepimpinan Wong sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Lee Hsien Loong.
“Rakyat sedang menilai sama ada Wong membawa pembaharuan yang sebenar atau sekadar meneruskan legasi lama. Imbasan terhadap barisan baharu dalam PAP menunjukkan usaha pembaharuan sedang digerakkan, tetapi masih banyak isu teras yang belum diselesaikan,” katanya.
Wajah Baharu, Harapan Baharu PAP?
Sehingga kini, Wong memperkenalkan 32 calon baharu dan turut menyelia persaraan beberapa tokoh lama dalam PAP. Tindakan ini dilihat sebagai simbol peralihan generasi dan percubaan untuk menghidupkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti yang telah lama memerintah.
Namun, walaupun langkah itu membuka ruang kepada idea segar, cabaran sebenar menurut Chong adalah bagaimana Wong menangani isu-isu utama rakyat seperti peluang pekerjaan, perumahan mampu milik dan kos sara hidup.
“Pengundi muda mungkin menghargai pendekatan baharu dan komunikasi dua hala, tetapi mereka tetap menilai dasar kerajaan berdasarkan impaknya terhadap kehidupan seharian. Tanpa penyelesaian konkrit, pendekatan kosmetik sahaja tidak mencukupi,” ujarnya lagi.
Kempen dan Cabaran Semasa Politik Singapura
Dengan slogan “Dunia Berubah, Pasukan Baharu, Azam Baharu”, Wong mengetuai kempen PRU kali ini dengan harapan untuk memperkukuh kedudukannya dalam landskap politik yang semakin kompetitif.
Walaupun PAP dijangka kekal dominan, pengaruh Parti Pekerja (WP) serta parti pembangkang lain seperti Parti Kemajuan Singapura (PSP) tidak boleh diketepikan. PRU2020 menyaksikan PAP mencatat peratusan undi terendah sejak 2011, dan trend itu mungkin berterusan jika isu-isu rakyat terus berlarutan.
“Perkara seperti kenaikan GST daripada 7% ke 9% terus menjadi isu hangat, walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan seperti Pakej Jaminan. Rakyat tetap terasa beban ekonomi,” jelas Chong.
Tumpuan Kepada Kawasan Panas PRU2025 Singapura
Antara kawasan yang dijangka sengit termasuk GRC Punggol, GRC East Coast dan GRC West Coast-Jurong West – lokasi di mana WP dan PSP meletakkan calon yang diyakini berwibawa dan mampu mengugat dominasi PAP.
“Pilihan raya kali ini bukan sekadar soal populariti Wong, tetapi sama ada beliau mampu menunjukkan keberanian dalam membuat reformasi dasar yang signifikan. Rakyat kini lebih menuntut ketelusan dan kepelbagaian suara dalam parlimen,” katanya.
Baca juga:
- Warga Singapura yang dikehendaki oleh AS ke atas Korea Utara berada di Singapura, kata polis
- Penyokong Pakatan kemungkinan enggan mengundi untuk PRU15
Perhimpunan Politik Kembali, Media Digital Berperanan
Buat pertama kali sejak pandemik, perhimpunan politik fizikal kembali dibenarkan. Ia membuka peluang untuk parti-parti politik kembali menjalin hubungan secara langsung dengan masyarakat.
Dalam masa yang sama, kempen digital dan saluran seperti podcast terus memainkan peranan penting, terutama dalam kalangan generasi muda dan mereka yang lebih gemar mengikuti perbincangan secara atas talian.
“Medium seperti podcast memberikan platform yang lebih bebas dan menyeluruh untuk mendalami isu. Ia menjadi pengaruh kuat terhadap pandangan pengundi yang mahukan penjelasan mendalam, bukan sekadar slogan,” ujar Chong mengakhiri.