The Malaysia Post

JDT Tagih Magis SSI Tundukkan Buriram dalam Misi Ke Suku Akhir ACLE

JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di ambang sejarah untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila bakal melayan kunjungan Buriram United dalam aksi timbal balik pusingan 16 pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam esok.

Selepas berjaya mengikat wakil Thailand itu tanpa jaringan di Chang Arena, Bangkok, Harimau Selatan kini mempunyai kelebihan untuk menamatkan perlawanan di halaman sendiri dengan kemenangan dan sekaligus mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat seterusnya.

JDT Lebih Gah di SSI, Bidoglio Yakin Anak Buah Bangkit Lawan Buriram

Pengendali JDT, Hector Bidoglio, meluahkan keyakinan tinggi terhadap anak buahnya yang kini berada dalam prestasi terbaik, terutama ketika beraksi di gelanggang keramat mereka.

“Keputusan seri 0-0 di Thailand memberi kelebihan kepada kami. Para pemain telah menunjukkan ketahanan luar biasa dan kekal fokus sepanjang perlawanan di Chang Arena,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Menurutnya, situasi kini berbeza kerana JDT bakal beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia mereka di SSI, sebuah kubu kebal yang terkenal dengan suasana intimidasi tinggi buat pasukan lawan.

Ujarnya, dengan kehadiran ramai penyokong yang memenuhi stadium, pemain JDT pasti lebih bersemangat untuk menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan kali ini.

JDT telah berdepan Buriram United dua kali musim ini, dan kedua-dua perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Namun, Bidoglio percaya bahawa pasukannya kini lebih bersedia untuk menghadapi cabaran getir dari skuad kendalian Osmar Loss.

Baca lagi | FIFA Umum Hadiah Terbesar Piala Dunia Kelab – RM4.4 Bilion Menanti Pemenang

Insiden Kad Merah & JDT Belajar Dari Kesilapan

Dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di SSI pada Disember lalu, perlawanan diwarnai dengan ketegangan dan kekasaran yang menyebabkan tiga kad merah dilayangkan oleh pengadil. Kejadian ini memberi pengajaran kepada JDT agar lebih berdisiplin dan tidak terperangkap dengan provokasi lawan.

Bidoglio juga mengakui bahawa aksi pusingan pertama minggu lalu menunjukkan beberapa kelemahan dalam pergerakan pasukan yang perlu diperbaiki untuk memastikan rentak permainan lebih lancar.

“Buriram adalah pasukan yang kuat dan mereka tahu bagaimana mengawal perlawanan. Kita perlu memperkemaskan corak serangan dan memanfaatkan setiap peluang yang ada,” jelasnya.

Bola kini berada di ‘gelanggang’ JDT, dan mereka tidak boleh mensia-siakan peluang ini untuk melakar sejarah sekali lagi dalam saingan ACLE.

Baca lagi | Newin Chidchub Kecewa, JDT Sekat Buriram di Pusingan 16 ACLE

Penyokong Jadi Pemangkin Kejayaan JDT di ACLE

Suasana di SSI dijangka akan menjadi lebih meriah dengan tiket perlawanan habis terjual dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia dibuka. Sokongan padu daripada Boys of Straits (BOS) dan penyokong setia lain bakal memainkan peranan penting dalam memberikan motivasi kepada para pemain.

Beberapa pemain utama seperti Bergson da Silva, Arif Aiman, dan Juan Muniz dijangka akan menjadi tonggak utama dalam usaha memburu jaringan.

JDT kini hanya selangkah lagi daripada melakar sejarah baru dalam saingan ACLE. Adakah mereka mampu menundukkan Buriram United dan melangkah ke suku akhir? Semua jawapan akan terungkai di SSI malam esok!

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Along Cham Harap Lafaz Cerai Taklik Selesai Hari Ini, Bakal Dedah Perkara Penting

Read Next

29 Cedera Akibat Jet Pejuang Korea Selatan Silap Sasaran Bom

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *