Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menang dengan jaringan 6-0 ke atas pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, petang semalam, 9 April.
Walaupun pasukan Esteban Solari hanya berjaya menjaringkan satu gol pada babak pertama, namun pada babak kedua, JDT memainkan permainan yang sungguh agresif apabila berjaya menjaringkan lima gol sekali gus, menjatuhkan gaya permainan KDA FC yang cuba menonjolkan gaya permainan ‘Nafuzi ball‘ dalam perlawanan tersebut.
Babak pertama 1 gol, serang bertubi-tubi babak kedua
Kemenangan JDT bermula dengan serangan bertali arus yang hampir mencipta gol pada minit ke-10. Bola jaringan Arif Aiman Hanapi pada posisi sayap kanan berjaya disambut oleh Bergson Da Silva tetapi bola hanya melepasi gawang di sebelah kiri ketika penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sudah bersedia.
Baca lagi | Hasrat Zii Jia Bawa Pulang Emas Sulung Negara
JDT terus menunjukkan keunggulan mereka apabila gol pertama dibolos pada minit ke-23 berpunca daripada bola sepakan sudut Juan Muniz. Feroz Baharudin menanduk bola ke hujung sebelah kiri gawang dan Fernando Forestieri menyarangkan bola ke dalam gol untuk menjaringkan gol pertama JDT.
Pada babak kedua, JDT terus menekan dan berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-48 selepas bola hantaran lintang Matthew Davies disambut oleh Feroz yang menanduk bola ke dalam gol, melepasi Kalamullah. Dua minit kemudian, Muniz berjaya menjaringkan gol ketiga selepas menerima bola daripada Arif Aiman.
Sepakan penalti beri JDT gol keempat
JDT meraih sepakan penalti pada minit ke-52 selepas Mohd Akmal Md Zahir melakukan kekasaran terhadap Bergson. Bergson yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Kalamullah apabila bola dipetik ke penjuru kiri gawang untuk meletakkan kedudukan menjadi 4-0.
Pada minit ke-77, Akhyar Rashid melepaskan umpan bola kepada Syahmi Safari, yang dengan pantas melorongkan bola kepada Arif Aiman. Arif Aiman dengan mudah memperdayakan Kalamullah sebelum menyarangkan bola ke dalam gol untuk menjaringkan gol kelima.
Baca lagi | Viral Shila Amzah, Ubai MZ Berpegangan Tangan
Di minit akhir permainan, pemain gantian Leandro Velazquez menjaringkan gol keenam dan terakhir untuk mengesahkan kemenangan bergaya JDT dengan jaringan 6-0.
Kemenangan ini menjadikan JDT kekal sebagai juara Liga Super dengan meraih kemenangan ke-8 berturut-turut, sementara KDA FC masih terdampar di tangga ke-10 dengan hanya lima mata dari 11 perlawanan yang dilakukan.