Kerajaan bercadang memperkenalkan skim simpanan untuk pekerja asing sebagai langkah menangani masalah mereka tidak pulang ke negara asal selepas tamat tempoh pas lawatan kerja sementara (PLKS) 10 tahun.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata isu pekerja asing tinggal lebih masa atau enggan pulang ke negara asal selepas PLKS mereka tamat adalah kerana mereka tidak mempunyai simpanan.
“Jadi skim simpanan ini perlu dilaksanakan supaya mereka mempunyai simpanan dan syaratnya termasuk simpanan itu hanya boleh dikeluarkan di negara asal selepas 10 tahun. Jadi, suka atau tidak, mereka terpaksa pulang untuk menuntut wang simpanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas berkata demikian kepada pemberita selepas program “Diskusi Minda TV: Isu Pekerja Asing di Malaysia, Apakah Penyelesaiannya?” anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Saravanan berkata skim itu mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti, termasuk mengenai penunjuk buruh paksa di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Satu lagi adalah mengenai keupayaan majikan untuk memenuhi keperluan itu, tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata berkuat kuasa 1 September ini, kemasukan pekerja asing termasuk pekerja mahir perlu mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja.
Butiran mengenai prosedur baharu ini akan diumumkan minggu depan selepas mesyuarat Jemaah Menteri, katanya sambil menambah bahawa ini susulan pindaan kepada Akta Kerja 1955.