Skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia akan bertemu juara 16 kali Thailand selepas kedua-dua negara diundi dalam Kumpulan B untuk Sukan SEA Hanoi bulan depan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam catatan Facebook hari ini berkata pasukan itu, yang diketuai jurulatih kelahiran Australia, Brad Maloney, turut diundi dalam kumpulan yang sama dengan Kemboja, Singapura dan Laos dalam pertandingan bola sepak yang akan berlangsung dari 6 Mei hingga 22 pada temasya dwitahunan itu.
Laluan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka akan menentang Thailand pada 7 Mei diikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan akan melengkapkan peringkat kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei.
Semua perlawanan Kumpulan B akan berlangsung di Stadium Thien Truong di Nam Dinh.
Undian hari ini turut menyaksikan juara bertahan dan Vietnam dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir yang akan berlangsung pada 19 Mei manakala perlawanan akhir pada 22 Mei.
Skuad B-23 negara sebelum ini di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2019 di Filipina selepas dia (Kim Swee) berjaya membawa pasukan negara meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Kali terakhir Malaysia memenangi “ibu kepada semua pingat” adalah pada edisi 2011 di Indonesia apabila Kim Swee juga mengetuai pasukan itu.
Sementara itu, skuad futsal lelaki negara diundi di kedudukan kelima dalam format liga round-robin bersama Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar.
Baca Lagi | Malaysia diundi dalam kumpulan yang sama dengan juara 16 kali Thailand
Skuad futsal wanita negara diundi di kedudukan ketiga dalam jenis format yang sama dengan Thailand, Vietnam, Myanmar dan Indonesia.
Sukan SEA Hanoi akan dibuka secara rasmi pada 12 Mei dan berakhir pada 23 Mei.